Tahniah buat Azizulhasni, doakan jadi juara

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah keatas pelumba Keirin negara, Azizulhasni Awang yang menduduki ranking No 1 Dunia dalam senarai yang dikeluarkan oleh Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) hari ini.

Kejayaan buat Azizulhasni yang berpangkalan di Melbourne ini diraih dengan mengungguli takhta dengan 508 mata, diikuti François Pervis dari Perancis dengan 504 mata dan ketiga Edward Dawkins dari New Zealand sebanyak 494 mata.

"Kejayaan ini membuktikan anak Malaysia mampu menjadi yang terbaik di dunia menerusi acara sukan yang memerlukan kekuatan fizikal," ujar Naib Ketua DPPM, Khairil Nizam Khirudin. dalam satu kenyataan

Justeru, katanya Pemuda PAS mendoakan kejayaan buat Azizulhasni dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia yang dijangka berlangsung pada bulan hadapan.

"Doa kami rakyat Malaysia buat Azizulhasni Awang," katanya yang juga Pengarah Jabatan Kebudayaan Kesenian dan Sukan DPPM. - HARAKAHDAILY 5/2/2016

Share on Myspace