Denggi: Seorang lagi pelajar meninggal di Terengganu

BERNAMA | .

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia akibat denggi semalam, menjadikannya mangsa ketujuh yang maut akibat penyakit bawaan nyamuk Aedes itu di negeri ini setakat ini.
    
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Mohamad Omar berkata kanak-kanak berusia lapan tahun itu meninggal dunia pada 3.30 petang selepas tiga hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
    
"Mangsa adalah murid Tahun 2 Sekolah Kebangsaan Seri Budiman 2 di sini, iaitu sekolah dan kampung sama dengan mangsa keenam sebelum ini.
    
“Sehubungan itu, saya sangat berharap ibu bapa supaya lebih berwaspada dengan kesihatan anak mereka terutamanya yang tinggal di kawasan lokaliti denggi...mereka perlu terus membawa anak ke hospital jika demam,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
    
Ini adalah kematian keempat yang membabitkan murid sekolah di Terengganu selain seorang warga emas berusia 65 tahun, seorang wanita 47 tahun dan seorang kanak-kanak tadika berusia lima tahun.
        
Dr Mohamad berkata sehingga semalam, terdapat 37 lokaliti aktif denggi direkodkan di seluruh Terengganu, dan daripada jumlah itu, sebanyak 26 lokaliti itu terletak di Kuala Terengganu, enam di Kuala Nerus, dua di Besut dan masing-masing satu di Dungun, Setiu dan Marang.
    
Tiga lokaliti lagi adalah kawasan ‘hotspot’ yang mencatat kes denggi tertinggi iaitu di Jalan Panji Alam, Chendering Pantai dan Losong Haji Mat Shafie.
    
Sehingga semalam, Terengganu mencatat peningkatan 266 kes demam denggi iaitu 776 kes berbanding 212 kes dalam tempoh sama tahun lepas. - Bernama

Share on Myspace