Mukhriz disingkir sebab cuba ikut stail PAS?

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kedah semasa di bawah kepimpinan Menteri Besar, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak telah memperolehi pencapaian tinggi dalam banyak aspek hingga menjadi satu tekanan kepada pemerintahan yang diterajui Umno-BN Kedah kini.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kejayaan Ustaz Azizan menjadi penanda aras yang mesti disaingi Umno di mana ia dilihat gagal dilaksanakan di bawah pentadbiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Pada saya, itu asas pertelagahan dalam Umno dan mereka merasakan rakyat nampak Umno selaku pemerintah gagal menyaingi pencapaian Kerajaan Negeri Kedah semasa ditadbir oleh PAS.

“Maka, Mukhriz selaku ketua menjadi mangsa. Apatah lagi dengan sikap Umno yang lebih merebut peluang terhadap diri berbanding mengutamakan rakyat. Mukhriz cuba bawa Umno Kedah untuk ikut ‘stail’ PAS; hidup sederhana, dahulukan rakyat, tonjol imej agama, berjubah, berkopiah, dekati ulama dan pondok, anjur salawat.

“Jadi rakyat terutamanya orang muda terima kesederhanaan dan imej baik Mukhriz ini. Tetapi hakikatnya, pemimpin Umno tak berupaya hidup dalam lakonan. Team (Datuk Seri Ahmad) Bashah Md Hanipah adalah wajah sebenar Umno,” ujarnya kepada Harakah baru-baru ini mengulas situasi terkini pergolakan Umno di negeri Jelapang Padi itu pasca pelantikan MB baharu.

Menurut beliau, transformasi yang diusahakan Mukhriz sebenarnya adalah untuk menghilangkan pengaruh zaman PAS, tetapi dilihat mengambil masa terlalu lama hingga menyebabkan Bashah yang pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Kedah beberapa penggal tidak lagi dapat bersabar.

Terangnya, Mukhriz berusaha menjayakan agendanya itu dengan imej kesederhanaan, telus, merancakkan pembangunan fizikal dan modal insan, tetapi terganggu oleh persekitaran Umno itu sendiri yang penuh skandal di semua peringkat dengan isu RM2.6 bilion, GST, 1MDB, dolak dalih Perdana Menteri, krisis dengan SPRM dan banyak lagi.

“Menyebabkan Mukhriz terpaksa bersuara dan suaranya itu dihargai rakyat Kedah terutamanya anak muda. Mereka meluat dengan penyelewengan. Mereka sudah terbayang sebuah kerajaan yang bersih dan negeri membangun pesat.

“Tetapi Umno merasa mereka gagal di bawah Mukhriz, lebih-lebih lagi pembangunan memerintah Kedah menggunakan dana Kerajaan Persekutuan. Apabila duit tak turun kepada Mukhriz, dia juga tak mampu buat apa-apa. Jadi Umno cuba tutup kelemahan dengan memecat Mukhriz.

“Sebetulnya, budaya politik dan pentadbiran Umno tidak mampu bernafas tanpa peruntukan Persekutuan. Berbeza dengan keupayaan PAS dahulu. Sebab itu Kedah boleh membangun zaman PAS memerintah. Umno bukan jenis mengutamakan rakyat, pemimpinnya hanya nak mereka senang dulu, kalau ada lebih baru bagi rakyat,” bidasnya.

Menurutnya lagi, Ahmad Bashah dengan pengalaman lamanya dalam Kerajaan Negeri Kedah selaku Exco telah dikenali gaya pengurusannya yang lebih kepada pembangunan fizikal.

Katanya, Bashah ‘dikenali’ dengan imej Tesco Mergong, menukar perkampungan Melayu dan sawah padi menjadi pusat komersil, serta kawasan Industri Kecil Sederhana Tandop menjadi perumahan Desa Seraya yang mewah dan pusat membeli belah.

Begitu juga tambahnya, Stargate yang asal sebagai kawasan perumahan turut dimajukan sebagai pusat komersil di bawah Bashah.

“Mukhriz cuba ikut rentak PAS, tapi duit tak turun dan Umno tak tolong dia. Umno tak nampak jalan boleh cari kekayaan kalau ikut cara PAS. Adun Umno dan Umno Bahagian tak mampu ‘survive’ macam Adun PAS dan PAS Kawasan yang tetap hidup zaman PAS jadi kerajaan.

“Maka Mukhriz jadi mangsa mereka. Dia pula kurang pengalaman, sepatutnya Bashah yang banyak pengalaman tolong dia. Tapi Bashah idam kerusi (Menteri Besar) tu. Dia biar Mukhriz nampak tidak ‘perform’ supaya satu masa dia boleh jatuhkan Mukhriz, dan dia dah buat.

“Najib suka sebab boleh menang dalam pertarungan dengan team Tun Mahathir. Bashah suka sebab boleh jadi MB. Adun-adun yang sokong Bashah suka sebab boleh minta habuan kerana menaikkan Bashah dan jatuhkan Mukhriz. Tapi rakyat jadi mangsa kerakusan pemimpin Umno,” ujarnya menyudahkan pandangan. – HARAKAHDAILY 5/2/2016

Share on Myspace