PAS Sarawak ucap Selamat Tahun Baru Cina

HARAKAHDAILY | .

TAHUN Baru Cina pada tahun ini disambut ketika keadaan ekonomi seluruh negara menghadapi keadaan yang gawat. Menurut kalendar lunar Cina pada tahun ini adalah tahun monyet. Monyet atau Kera ialah bintang haiwan yang kesembilan dalam kitaran 12 haiwan zodiak Cina.
 
Malaysia sentiasa memberi peluang kepada setiap penganutnya merayakan setiap perayaan keagamaan dan kebudayaan masing-masing setiap tahun tanpa sebarang halangan.
 
Adalah harapan setiap lapisan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama di dalam negara ini dapat menyambut perayaan Tahun Baru dalam keadaan harmoni di samping hormat-menghormati antara satu sama lain.
 
Dengan adanya kefahaman kebudayaan serta adat resam sesuatu bangsa dan agama dapat memberi peluang kepada setiap masyarakat yang berbilang bangsa dan agama dalam negara ini dapat mengenal antara satu sama lain dengan lebih baik lagi.
 
Di Sarawak masyarakat yang berbilang bangsa dan suku kaum serta yang berbilang agama dapat hidup dalam harmoni tanpa sebarang masalah. Perkara ini patut dikekalkan agar rakyat Malaysia sentiasa menghormati adat dan budaya masing-masing tanpa ada sebarang perasaan prejudis.
 
Negara akan aman apabila kita dapat mengenal budaya dan adat resam sesuatu kaum dengan baik. Ia juga dapat mengelak kita dari salah faham dan ini akan dapat memupuk perpaduan antara kaum dan agama.
 
Semoga hubungan antara kaum dan agama dalam negara kita akan terus dipelihara. Kita dapat hidup aman dan harmoni dari segala perasaan buruk sangka dan ancaman dari anasir jahat dari luar yang ingin merosakkan perhubungan antara kaum dan agama dalam negara ini.
 
Dalam Islam sendiri kita diajar menghormati kepercayaan penganut agama masing-masing dan dilarang menceroboh atau merosakkan tempat peribadatan agama lain.  Islam adalah agama kesejahteraan dan melarang umatnya bersikap melampau.
 
Kepada mereka yang bercuti dan balik kampung, berhati-hati ketika memandu semoga selamat sampai ke destinasi masing-masing.
 
PAS Sarawak ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Tahun Baru terutama kepada seluruh masyarakat Cina dalam negara ini agar hubungan antara kaum dan agama dapat dipupuk dengan lebih rapat dan harmoni lagi tanpa mengira fahaman politik masing-masing.
 
Selamat Tahun Baru Cina.
Gong Xi Fa Chai
 
JOFRI JARAIEE
PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 5/2/2016

Share on Myspace