Mukhriz Mahathir - Pandangan Penutup

MUHAMMAD SANUSI MD NOR | .

DUA hari sebelum lawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (MM) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) itu (24 Ogos 2013), Ustaz Azizan Razak (UAR) diziarahi Datuk Profesor Dr. Abdul Hamid Abu Sulayman. Tokoh ternama dalam dunia pendidikan dan pemikiran Islam itu adalah bekas rektor UIAM (1989-99) terbang dari Riyadh Arab Saudi. Dia membawa senaskah Al-Quran dan sekotak kurma dari ladang di Madinah.

(Kisahnya telah saya tulis di http://sanusimdnor.blogspot.my/…/kasih-sayang-merentasi-sem…)

Lawatan MM dan TSMY pada 24 Ogos 2013 saya kira yang terakhir sewaktu hayat UAR. Catatan tulisan tangan TSMY di buku pelawat menggunakan tulisan jawi yang kemas. Sebulan selepas itu UAR dijemput oleh Penciptanya, pergi selama-lamanya.

MM dibayangi pencapaian luar biasa UAR.
Sukar sekali bagi MM memposisikan diri sebagai MB Kedah daripada Umno selepas Kedah melalui detik-detik terbaik dalam sejarah negeri di bawah kepimpinan UAR. Kedah berubah wajah daripada banyak sudut. UAR muncul sebagai pemimpin ikonik Kedah.

Biar dari sudut apapun, 'kelibat' UAR sentiasa menjadi kayu ukur rakyat Kedah bagi menilai MM. Budaya kerja, cara hidup, dasar parti, latar belakang keluarga, gaya pemikiran, tahap pendidikan, ketokohan, keutamaan dan keterbukaan UAR jauh meninggalkan MM dan pembantu di sekelilingnya. Memimpin Kedah dan 'perkakasnya' tidak semudah melontarkan kritikan sewaktu berkempen. Kerajaan negeri tidak sama dengan MITI.

Sewaktu di KMC, UAR ada bertanya MM. "Datuk dah masuk pejabat ka? Kerajaan renovate pejabat tu baru-baru ni, depa pasang karpet dan cat baru. Dah elok la bilik MB tu".

Kata MM. "Masuk dah tadi. Besaq sungguh bilik tu. Jauh beza dengan ofis saya di MITI. Di sana bilik saya timbalan menteri kecik ja".

UAR bertarung dengan kesihatannya di hospital, MM dan Umno terpaksa bertarung dengan legasinya di medan politik dan pentadbiran Negeri Kedah. Yang cuba dipunggah memakan diri, yang nak diteruskan tiada upaya, yang nak ditiru terpaksan dilakonkan. Rakyat memerhati, PAS terus melontar pandangan dan nilaian.

Pencapaian UAR memimpin kerajaan meletakkan 'benchmark' yang sukar digapai oleh Umno dan MM. Kegagalan itu cuba diletakkan kepada MM seorang apabila pemimpin Umno negeri, Adun-adun Umno/BN dan Exco-exco mula menjarakkan diri.

Umno pusat pun buntu dengan krisis Presiden mereka, Umno kedah pun buntu dengan 'padang baru Kedah' yang ditebas oleh UAR dan PAS. 100 hari pertama itu Umno kedah hanya mampu melancarkan UTC- program kerajaan pusat. Cubaan-cubaan lain masih dalam balang di makmal transformasi.

26 September, MM dan ayahnya Tun M bergegas ke kuburan di Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena. Pusat pendidikan yang diasaskan oleh Ustaz Fadzil Noor dan dibangunkan oleh UAR menerima sesiapa saja tetamu pada petang itu.

Tun M berdiri terpacak di pinggir liang sejak awal, kemudian di sertai anaknya MM hingga selesai talkin. Saya tawarkan kerusi untuk Tun M melepaskan penat berdiri, kerana waktunya masih panjang sebelum jenazah dapat disemadikan. Dia menolak dengan baik. "Tak paa..saya nak berdiri saja". Biarpun berasak-asak, panas cuaca dan panas 'suara-suara nakal' dari belakang, mereka dua beranak tidak berganjak, tenang sahaja, tidak mahu melepaskan kesempatan bersama saat sayu yang bersejarah itu.

MM dikuburkan sendiri oleh Umno ketika dia masih sihat, kuat bertenaga. Dia memiliki personaliti yang baik. Dia hadir bersila di ruang tamu rumah UAR menjamah jamuan kenduri cukur kepala cucu UAR beberapa bulan selepas itu.

Layan diri. Banyak gambar-gambar MM bersila, masuk kampung, masuk pondok, berjubah, berketayap, bersolawat - humble- dipaparkan. Ia tidak ada nilai sama sekali di sisi Umno. Dia cuba untuk tidak merempuh legasi PAS pimpinan UAR sebelumnya, tapi dia tidak mampu melonjak ke depan kerana Umno yang mendokong dan didokonginya tidak serasi dengan perjalanan meredah kepayahan demi negeri dan rakyatnya.

Ini telahan saya. Mereka semua berpolitik untuk mencari kesenangan - MM sudah memilikinya dengan jalan lain. Mereka berpakat merebahkan MM untuk menyenangkan bos di Kuala Lumpur yang boleh menjamin kesenangan diri mereka sendiri.

Dapatkah legasi UAR dan PAS disaingi oleh gerombolan yang dikepalai pula oleh DS Basyah. Kita tunggu. – HARAKAHDAILY 6/2/2016

Share on Myspace