Perutusan Tahun Baru Cina 2016 MB Kelantan

HARAKAHDAILY | .

Salam sejahtera kepada semua masyarakat Tionghua khasnya yang berada di Kelantan dan di Malaysia amnya. Saya ingin mengucapkan Selamat tahun Baru Cina 2016, semoga kedatangan tahun baru ini lebih bermakna daripada tahun-tahun sebelum ini.

Pihak kerajaan Negeri Kelantan mengutamakan masyarakat bukan Islam sebagaimana masyarakat Islam yang lain, tidak ada perbezaan antara satu sama lain. Islam mengiktiraf hak setiap manusia tanpa mengira kaum.

Oleh itu, tidak boleh berlaku perbezaan atau penafian hak berdasarkan perbezaan agama dan etnik. Kepelbagaian dan perbezaan itu bukanlah faktor untuk berpecah-belah dan bermusuhan. Seharusnya kita perlu kenal-mengenal dan membantu antara satu sama lain agar kedamaian dan kemakmuran hidup dapat dikecapi bersama.

Islam menyuruh umatnya agar menyemaikan sikap hormat menghormati dan melahirkan rasa kasih-sayang di kalangan kelompok yang berlainan agama dan bangsa. Dalam konteks kepelbagaian kaum dan agama di negeri dan negara kita, masyarakat bukan Islam perlu diberi perhatian dan dijaga. Malah setiap tindak-tanduk kita hendaklah tidak menimbulkan rasa tidak selesa hingga menjejaskan ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat.

Keupayaan pelbagai kaum untuk duduk semeja dalam merancang pembangunan negara dan negeri adalah satu perkara yang dituntut oleh setiap agama dan memberi manfaat serta faedah kepada pembangunan negeri dan negara kita.

Kerajaan Negeri Kelantan telah memperuntukkan skim-skim kebajikan kepada masyarakat bukan Islam sama seperti masyarakat Islam yang lain seperti skim rumah dhuafa’ atau rumah orang miskin, skim kifalah, skim Al-It’am atau bantuan beras termasuklah skim untuk membantu orang berkahwin atau Al-Ziwaj.

Melalui Skim Takaful Kifalah Warga Emas umpamanya yang telah dilancarkan pada 7 Februari 2007, boleh dikatakan hampir sebahagian peserta adalah daripada kalangan masyarakat bukan Islam. Menariknya, ada daripada mereka yang memilih untuk menyalurkan sumbangan yang diterima kepada  Badan Amal dan Kebajikan, NGO, masjid dan lain-lain. Inilah semangat kemuwafakatan yang ada di Negeri Kelantan.

Semoga Kelantan dibawah kepimpinan Ulama akan sentiasa mengemudi seluruh masyarakat dengan dasar yang adil dan saksama dibawah Merakyatkan Membangun Bersama Islam. Sementara masyarakat Tionghua di Kelantan khususnya terus memberikan kerjasama dan sokongan kepada pihak Kerajaan Negeri untuk mentadbir negeri dengan  sebaik-baiknya. Akhir kata, Gong Xi Fa Cai,  恭贺各界 萬 事 如 意

Salam Hormat,

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
27 Rabiul Akhir 1437/7 Februari 2016 - HARAKAHDAILY 7/2/2016

Share on Myspace