Sunni, Syiah, Wahhabi: Ulang kembali perangai lama

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
SUNNI, SYIAH, WAHHABI; PERANGAI LAMA DIULANG KEMBALI

Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang bersifat:
1 Allah kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Allah;
2 lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir,
3 berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah,
4 tidak takut kepada celaan orang yang mencela.
Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya." [Al-Maaidah: 54]

Allah menyatakan sifat kedua bagi pejuang agamaNya yang sebenar adalah merendah diri kepada sesama Islam, dan tegas kepada orang-orang kafir. Ini adalah sifat para Nabi, sahabat, tabiin, imam-imam dan para ulama pejuang Islam. Walaupun berlaku perselisihan, mereka bersikap rendah diri dan tidak bermusuh. Tidak menjadikan masalah fiqh sebagai sebab untuk berpecah belah.

Lihat perbezaan antara Imam Syafie dengan gurunya, Imam Malik. As-Syafie mengatakan semasa berdiri dalam solat, tangan perlu diletakkan di perut sedangkan Imam Malik menyatakan tangan perlu dijatuhkan ke bawah. Ketika Imam Malik diberitahu tentang perbezaan pendapat as-Syafie tersebut bertujuan supaya al-Malik menyatakan sesuatu terhadap Imam Syafie, Imam Malik sebaliknya berkata, semua pendapat manusia boleh diterima dan ditolak, kecuali tuan kubur ini. (Sambil menunjukkan ke arah kubur baginda SAW.)

Imam Syafie juga murid kepada murid Imam Abu Hanifah iaitu Imam Hasan as-Syaibani. Walaupun Imam Syafie berpendapat sunat membaca qunut dalam solat Subuh, tetapi ketika melawat kubur Imam Abu Hanifah, beliau solat Subuh tanpa qunut dan sujud sahwi kerana menghormati pandangan Imam Hanafi.

Imam Abu Hanifah pula berguru dengan Imam Muhammad al-Baqir, salah seorang Imam Mazhab Syiah Imamiah. Mereka juga berselisih pendapat, tetapi sesudah mereka berbincang, Imam Al-Baqir memeluk tubuh muridnya itu tanda kasih antara mereka.

Itulah akhlak ulama dahulu. Namun orang sekarang sibuk berbalah soal-soal sebegini. Diperbesarkan perbezaan antara orang Islam sehingga mewujudkan sengketa dan perpecahan. Berbalah soal fiqh lebih dari Imam Syafie, Imam Hanafi pula. Mereka tidak merendah diri kepada orang beriman, tetapi boleh pula berkompromi dengan golongan kuffar.

Dulu dah buat perangai sebegini. Ingat dahulu semasa zaman Uthmaniah, Wahabi (bermazhab Hanbali/Salafi) dibantu oleh penjajah Inggeris menentang khilafah Uthmaniah dengan sentimen mazhab kerana Uthmaniah adalah Asyairah, Maturidi dan Hanafi. Di Iran, Shah Iran bermazhab Syiah Imamiah dibantu oleh penjajah atas sentimen Sunni Syiah. Begitu juga di Yaman, syiah Zaidiah dibantu oleh penjajah menentang Uthmaniah. Di kebanyakan negara arab pula, gerakan kebangsaan arab dibantu menentang khilafah yang berketurunan Turki itu dengan sentimen kaum.

Dengan perbezaan mazhab dan kebangsaan yang sengaja dijadikan umpan penjajah, Akhirnya umat Islam hilang kuasa khilafah. Dalam waktu umat Islam lemah ini, penjajah pula mengambil peluang membina kuasa mereka.

Hari ini perbalahan diteruskan sekali lagi. Syiah lawan Sunni, Sunni lawan Syiah, Sunni lawan Sunni, Syiah lawan Syiah, wahabi, Asyairah, semuanya berperang sesama sendiri. Sebaliknya pula musuh sebenar iaitu kuffar zionis yang sedang membunuh unat Islam di Palestin setiap hari dibiarkan begitu sahaja, dibuat kawan pula. - HARAKAHDAILY 7/2/2016

Share on Myspace