Azan akan mengganti dentingan loceng di Jerman?

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

KRISIS kemanusiaan terbesar abad ini belum nampak tanda akan surut, malah semakin meruncing serta merobek nurani kita. Syria semenjak empat tahun yang lepas menjadi sorotan media setiap detik, bukan sekadar dengan episod serangan dan pembantaian tetapi juga tangisan hiba di khemah-khemah pengungsian yang telah mencecah angka empat juta lebih pelarian.

Bumi Syria yang merupakan sebahagian daripada Syam ialah tanah berkah yang telah melahirkan ribuan ulama dan sang pencerah. Tanah yang juga menempatkan kuburan sahabat dan sahabiah Nabi SAW seperti Bilal Bin Rabah, Saad Bin Ubadah, Khalid al Walid, Ummu Salamah dan ratusan yang lain. Tanah yang menjadi tapak kepada pemerintahan Islam, kerajaan Bani Umaiyyah yang bermula pada tahun 40 hijrah sehinggalah berakhir pada tahun 132 Hijrah.

Kini bumi yang indah dan mendamaikan ini menjadi puing-puing berserakan, padang jarak padang tekukur yang menggerikan. Angka kematian telah mencecah 300,000 orang lebih dan menjangkau kepada masalah hiliran yang lain. Jihadis dunia bergerak ke tanah Syam ini dan berdepan dengan pakatan Ahzab moden yang tak peduli kepada darah yang berkubang.

Pelarian Syria telah berhimpun dengan jumlah yang ramai di sempadan Jordan Syria dan juga sempadan Turki Syria. Mutakhir ini aliran penghijrahan pelarian Syria semakin galak menuju ke arah Benua Eropah yang lebih menjanjikan kehidupan yang lebih baik, di mana dianggarkan lebih sejuta pelarian telah memasuki Benua Eropah.

Pelarian menggunakan pintu Turki untuk mencari peluang kehidupan di Eropah. Antara negara yang menjadi pilihan mereka ialah Greece, Hungary, Republik Chech, Astria, Jerman, Belanda dan lain-lain lagi. Mengapa Eropah? Itu yang menghantui penulis, apatah lagi dengan jumlah selimut dalam amaun yang besar masih tersangkut di lapangan terbang Amman akibat karenah birokrasi pihak kerajaan Jordan.

Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan dalam misi bantuan Muslim Care ialah misi membantu pelarian Syria musim sejuk di Eropah. Tak mudah denai laluan mereka yang bersabung nyawa, melawan kesejukan dan gelombang lautan.

Antaranya mereka akhirnya menggunakan laluan laut berhijrah ke Greece, Hungary, Austria, Jerman, Belanda, Perancis dan juga negara-negara lain. Negara Jerman menjadi negara terbesar menampung kedatangan pelarian Syria.

Ratusan ribu akhirnya pelarian Syria telah datang ke Jerman yang merupakan Negara Eropah Timur yang pernah mengadakan pemuafakatan dengan kerajaan Uthmaniah pada satu ketika dahulu. Semasa di Jerman, saya dan anggota-anggota Muslim Care telah mengadakan usahasama dengan Pusat Islam An-Nour di Hamburg.

Relawan Muslim Care mengagih-agihkan makanan kepada pelarian yang berada di shelter atau tempat perlindungan di Hamburg. Kami melihat sendiri bagaimana aktifnya relawan-relawan Jerman ini, mereka telah menunggu pelarian di stesen keretapi Hamburg dan setelah itu membawa pelarian-pelarian ini ke shelter atau tempat perlindungan.

Pelarian yang masih kepenatan dan kebingungan ini akan diberikan makanan, pakaian dan perlindungan. Akhirnya selepas daripada beberapa tempoh tertentu, pelarian-pelarian ini juga diberikan peluang pekerjaan, sebagai buruh-buruh kasar bagi memastikan kelangsungan hidup mereka.

Saya yakin dan percaya sekitar 20 tahun akan datang, negara Jerman akan menjadi bumi yang subur kepada dakwah Islam di Eropah, bahkan akan melonjakkan dengan drastik populasi muslim di negara yang pernah melakar sejarah terhadap pembantaian Yahudi dalam era Perang Dunia Kedua.

Jerman kini juga mempunyai 5 hingga 6 juta penduduk Muslim, juga dengan latar sejarah migrasi pasca Perang Dunia Kedua.  kesan daripada kebanjiran rakyat Turki selepas daripada perang dunia kedua di Jerman, akibat Jerman kehilangan ramai anak-anak muda akibat bencana peperangan.

Migran Turki ini berkhidmat di sektor-sektor perkilangan yang sememangnya subur di Jerman.  Hari ini generasi kedua mereka telah menjadi generasi yang berpendidikan bahkan telah banyak menubuhkan NGO-NGO Muslim membantu misi kemanusiaan di seluruh dunia seperti NGO Hasana.  

NGO Hasana, sebagai contoh telah menyantuni lebih 100 buah negara dalam musim raya korban, mereka menyembelih lembu korban diagihkan kepada masyarakat yang memerlukan termasuklah pelarian Syria. Mereka aktif dalam gerak kerja dakwah, begitu juga dengan puluhan NGO muslim yang lain yang secara umum ditubuhkan oleh generasi kedua migran dari Turki.

Jerman bukan sahaja hebat dengan pencapaian industri automobil dan kerancakan heavy metal band yang menaufan buana ini dalam dekad 80-an tetapi sangat berjiwa besar membuka setiap pintu negaranya kepada pelarian Syria, pada saat negara umat Islam agak malu-malu kucing untuk membantu.

Banyak yang akan berubah di negara legasi Hitler itu, semoga laungan azan akan mengganti dentingan loceng gereja, "Wind of Change" kata senandung Klaus Maine, vokalis Scorpions. – HARAKAHDAILY 7/2/2016

(Penulis ialah Pengarah Penerangan Muslim Care Malaysia)

Share on Myspace