PAS gesa ambil langkah awal selamatkan kerugian FGV

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Langkah awal perlu diambil untuk menyelamatkan Felda Global Ventures (FGV), kata Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat, Razman Zakaria.

"Langkah awal perlu diambil oleh pihak berwajib untuk menyelamatkan institusi Melayu," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, laporan kewangan suku tahun ketiga FGV pada tahun lalu menyatakan kerugian sebelum cukai berjumlah RM62.43 juta.

Menurutnya, laporan itu memberi petunjuk supaya langkah awal perlu diambil supaya tidak membawa institusi bumiputera terbesar ini menjadi mangsa spekulasi pasaran saham sehingga membawa risiko yang lebih besar.

Tambahnya, PAS memandang serius perkara itu kerana ianya melibatkan secara langsung masa depan hampir 1 juta warga Felda dan aset tanah yang diserahkan kepada Felda menjadi mangsa keadaan.

Sehubungan itu, ujarnya PAS menggesa pihak kerajaan membuat penyelidikan terperinci punca masalah kerugian itu.

"Ia tidak boleh diletakkan semata-mata kepada kejatuhan harga komoditi getah dan sawit," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Perak.

Beliau juga mempersoalkan apa akan terjadi kepada FGV sekiranya harga komoditi terus menjunam dalam satu jangka masa yang panjang.

Oleh kerana itu, katanya PAS melahirkan kebimbangan kemungkinan berlaku kerugian berpunca dari pelaburan FGV yang bukan dalam bidang perniagaan utama yang menyumbang kepada kerugian.

"Peneroka Felda juga diseru untuk membuat penyelidikan dan memandang serius perkara ini. Bertindak segera sebelum parah," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 7/2/2016

Share on Myspace