Air pasang: 73 penduduk Pantai Pulau Kundur dipindah

BERNAMA | .

KOTA BAHARU: Seramai 73 penduduk daripada 16 keluarga yang tinggal di pantai Pulau Kundur di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Pulau Kundur berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku Ahad malam.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu, Pegawai Kanan II Ayub Mustafa berkata kesemua mangsa itu dipindahkan sejak 8 malam berikutan ombak yang membadai pesisir pantai itu memasuki kediaman mereka.

"Ini merupakan kali kedua penduduk di kawasan tersebut dipindahkan selepas kejadian pertama pada bulan lepas," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Bulan lepas, lebih 70 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara berikutan fenomena tersebut yang turut memusnahkan lapan kediaman di kawasan itu. - Bernama

Share on Myspace