25 Tahun Jabatan Amal: Rahsia Kejayaan

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Jabatan AMAL Dewan Pemuda PAS Malaysia atau lebih dikenali dengan nama Unit AMAL pada awal Febuari tahun ini telah merayakan sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun penubuhannya. Ia diadakan secara besar-besaran di Kampung Rusila, Terengganu dengan penyertaan bersama oleh anggota AMAL dari seluruh negara dan pimpinan utama PAS.

Dewan Pemuda PAS Malaysia semestinya melahirkan rasa syukur dan bertuah dengan kejayaan Jabatan AMAL ini. Ia kini teguh sebagai sebuah institusi kebajikan dan kesukarelawanan yang begitu gah mencipta nama di dalam negara yang disukai dan dihormati oleh seluruh rakyat Malaysia termasuk oleh pihak kerajaan juga.

25 tahun adalah tempoh yang panjang dan amat hebat bagi sebuah unit dan jentera kerja di bawah sebuah parti politik tanah air. PAS berjaya membina tenaga sukarelawan rakyat yang antara kehebatannya ialah kejayaan untuk terus menelurkan dan melahirkan para sukarelawan baru yang semakin bertambah dan disertai oleh semua lapisan masyarakat. Kini jumlah keanggotaan AMAL telah melewati 8,000 anggota.

Ahli AMAL adalah anak-anak muda di kampung dan desa. Ahli AMAL juga adalah para profesional muda yang berjaya dalam kerjaya masing-masing. Ada jurutera, juruteknik, usahawan, peniaga, guru, ustaz dan pelbagai latar belakang lagi. Mereka ada orang lama dan otai yang terus istiqamah bersama berkhidmat dan membimbing AMAL walaupun telah pun mencecah umur 60 tahun.

AMAL bermula dalam skala kecil. Awalnya mereka ditugaskan membantu kerja-kerja parti sama ada melibatkan program dalaman ataupun luaran. Dengan PAS sebagai sebuah parti politik Islam tunggal di tanah air semakin meluaskan pengaruhnya dari tahun ke tahun, AMAL turut melangkah meluaskan jaringan kerja amal dan kebajikannya di dalam masyarakat.

Walaupun cabaran awal mencipta nama begitu memeritkan dengan halangan langsung daripada parti pemerintah yang tidak senang hati dengan pengaruh AMAL di dalam masyarakat dan pelbagai lagi fitnah dan tohmahan yang dilemparkan, namun mereka menukarkannya menjadi azimat dan penawar ke arah keutuhan dan kekuatannya. AMAL terus berjaya meraih sokongan masyarakat. Malah AMAL kadang-kadang lebih cepat diterima masyarakat berbanding parti PAS sendiri!

Saya berharap segala rahsia kejayaan AMAL ini mampu dicungkil dan dikaji secara menyeluruh oleh ahli PAS agar manfaatnya dapat dipanjangkan kepada seluruh sektor terutama dalam parti PAS sendiri. Ia adalah rahsia besar yang tersimpan baik di dalam rantaian sejarah 25 tahun AMAL beroperasi.

Coretan ringkas ini bertujuan menjelmakan keupayaan PAS mentarbiyah ahlinya memahami kewajiban bekerja dan berkhidmat dalam masyarakat dengan penuh ikhlas dan kerana Allah. Bekerja tanpa upah dan terima kasih. Bekerja menggunakan kepunyaan sendiri dan walaupun dibalas dengan maki hamun.

Kemudian ahli PAS yang lain dituntut membantu jentera AMAL dengan membekalkan mereka dengan segala keperluan melalui derma dan sumbangan wang dan harta benda. Ertinya PAS mentarbiyah ahli mereka untuk menyertai AMAL atau jika tidak bersedia, mereka mestilah pula bersedia membantu AMAL dengan harta benda mereka.

Rahsia 'Beramal Kerana Allah' adalah cukup hebat. 5 tahun lepas, ketika saya adalah Timbalan Ketua DPPM di bawah YB Ustaz Nasrudin Hassan, saya memulakan inisiatif agar Jabatan AMAL mengukuhkan kewangannya melalui perniagaan dengan membuat dan menjual produknya sendiri. Faktor kewangan sebenarnya adalah antara punca mengapa AMAL tidak mampu bergerak lebih laju daripada apa yang mereka miliki hari ini.

Masa itu, saya pernah bertanya dalam satu perbincangan awal, mengapa Jabatan AMAL tidak meneroka peluang perniagaan yang pasti menguntungkan kerana AMAL memiliki kepercayaan dan kesediaan masyarakat untuk membantu? Mereka menjawab, kami dilatih untuk bekerja liLlah taala. Kami tidak dilatih untuk berniaga. Saya termenung juga. Akhirnya saya jawab, mari kita berniaga liLlahi taala juga.

Bila AMAL menghasilkan produknya dan memulakan perniagaan, ia kelihatan akan kekal berjaya. Tetapi ia akhirnya terhenti di pertengahan. Sebabnya mudah, mereka tidak dilatih untuk berniaga. Saya nampaknya perlukan idea yang lebih baik untuk terus mengusulkan penjanaan wang kepada AMAL melalui perniagaan.

Saya membawa sorotan pengalaman saya ini adalah bagi menggambarkan keteguhan kefahaman anggota AMAL terhadap perinsip dan motto 'Beramal Kerana Allah' yang mereka terapkan di kalangan anggota AMAL. Ia adalah rahsia kejayaan yang cukup besar.

PAS sebenarnya berjaya membina kefahaman kukuh di kalangan ahlinya mengenai konsep kefardhuan atau kewajiban di dalam ugama Islam. Antaranya adalah memahami erti fardhu kifayah selepas memahami fardhu ain.

Fardhu kifayah biasanya difahami secara salah oleh masyarakat. Ia dimaksudkan sebagai kefardhuan kelas kedua. Pahalanya kurang berbanding pahala amal fardhu ain. Ia mencukupi dan tidak lagi perlu dilakukan selepas ianya sudah pun dilaksanakan oleh orang lain.

Walaupun secara zahirnya kefahaman mudah seperti itu tiada salahnya, tetapi ia boleh membawa kesan negatif yang merugikan. Fardhu kifayah akhirnya direndahkan nilainya, ditinggalkan dan dilihat tidak penting, malah mungkin dirasakan bukan satu kefardhuan lagi.

Fardhu kifayah sebenarnya adalah kemuncak perlumbaan di dalam ugama. Fardhu ain adalah asas dan permulaan. Setiap muslim diarahkan selepas melaksanakan asas-asas ugama untuk terus bergerak dan berlumba mengejar kelebihan dan keutamaan di sisi Allah. Di sinilah fardhu kifayah menyediakan ruang besar itu.

Jika fardhu ain tidak membantu dan bermanfaat selain untuk individu muslim tersebut, fardhu kifayah pula melangkaui ke hadapan. Jika anda hadir untuk solat jenazah, anda bukan sahaja memperolehi pahala amal fardhu yang besar, malah anda juga telah membebaskan masyarakat daripada dosa besar.

Ertinya mendirikan solat lima waktu hanya memberi manfaat dan jasa kepada pendiri solat itu sahaja sedangkan mendirikan solat jenazah pula memberi manfaat kepada seluruh masyarakat. Anda dengan itu telah melakukan jasa yang besar di dalam sebuah masyarakat Islam.

Amal kebajikan adalah fardhu kifayah. Ia seperti juga amal dakwah di dalam masyarakat. Jika ada sekumpulan ahli masyarakat melaksanakannya dengan sempurna, maka masyarakat adalah sejahtera dan bebas daripada dosa tidak melaksanakan kefardhuan.

Amal kebajikan dalam masyarakat adalah bagi menjamin keadilan sosial yang menjadi tunjang kehidupan yang sejahtera. Di dalam ugama, adalah satu dosa membiarkan orang dalam kesusahan terus dalam kesusahan tanpa bantuan daripada masyarakatnya. Allah sengaja menciptakan kesusahan di sebelah kesenangan yang dikecapi masyarakat agar wujud ta'awun dan bantu membantu di antara mereka. Dengan itu akan wujudlah kasih sayang yang menjadi tunjang pembinaan kesatuan dan perpaduan masyarakat.

Solat lima waktu yang merupakan satu fardhu kifayah menjamin kebahagiaan kehidupan individu, manakala solat berjamaah pula yang menjadi satu fardhu kifayah menjamin kebahagiaan masyarakat. Bayangkan, jika masyarakat tidak bahagia disebabkan kurang jalinan kasih sayang dan kerjasama, bagaimana setiap anggota masyarakat boleh melaksanakan fardhu ain dengan baik dan selesa?

Apabila Jabatan Amal memainkan peranan utama dengan kerja-kerja kebajikan di dalam segenap lapangan kemasyarakatan, ia sebenarkan telah berperanan besar memajukan dan mensejahterakan masyarakat tersebut. Malah secara tidak langsung, dengan peranannya yang luas dan cekap, ia turut memajukan negara.

Negara kita walaupun maju, tetapi penuh kecacatan. Sistem yang diguna pakai untuk membangunkan negara adalah lemah. Ia jika bergerak maju, ia melalaikan rakyatnya daripada ugama. Jika pula ia berhadapan kesusahan, ia sering berhadapan dengan masalah pengabaian. Kesedaran untuk saling bantu membantu adalah lemah. Semuanya adalah kerana kerosakan sistem pembinaan negara dan lebih teruk, lemahnya jentera pelaksana yang diketuai oleh parti pemerintah hari ini.

Jabatan AMAL hadir dengan amal Islami yang berteraskan keikhlasan kerja kepada Allah. Mereka bukan sahaja berjaya menarik sokongan masyarakat kepada mereka, malah lebih utama, mereka berjaya menarik masyarakat kepada kecintaan kepada ugama. Selepas itu mereka memperkenalkan PAS sebagai jamaah Islam yang berjuang untuk ugama dan keredhaan Allah.

Jabatan AMAL telah melaksanakan tugas dengan cemerlang. Hari ini mereka menyambut kejayaan berkhidmat dalam masyarakat selama 25 tahun dengan penuh kesyukuran dan tekad untuk lebih maju pada masa akan datang.

Segenap lapisan masyarakat, terutama ahli PAS mestilah memberikan segala sokongan dan pertolongan untuk memastikan Jabatan AMAL atau Unit AMAL atau dikenali juga dengan jolokan 'tentera merah' terus maju dengan keilhlasan dan amal kebajikan yang mensejahterakan kehidupan masyarakat dan negara. - HARAKAHDAILY 8/2/2016

* Artikel adalah untuk siri kolum ' Terang Rembulan' akhbar Harakah.

Share on Myspace