PAN tanding kerusi PAS kerana ditolak PKR, DAP

SAIDAH HAIRAN | .

KUALA LUMPUR: Hasrat PAN Selangor untuk bertanding di semua kerusi DUN dan Parlimen PAS kerana parti itu tidak mendapat laluan bertanding di kerusi milik PKR dan DAP.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad menegaskan, rayuan PAN ditolak oleh DAP dan PKR untuk bertanding di kerusi milik parti itu.

Katanya, disebabkan rayuan itu ditolak, PAN Selangor akan bertanding di semua kerusi milik PAS pada pilihan raya umum ke-14.

“Saya faham kenapa PAN terpaksa bertanding di semua kerusi PAS. Saya telah membaca kenyataan keras dan menghina oleh DAP dan PKR apabila PAN merayu untuk mendapatkan kerusi bertanding pada PRU nanti," katanya.

Menurutnya, PKR dan DAP telah menghina PAN dengan mengeluarkan kenyataan keras supaya kerusi kedua-dua parti itu tidak terlepas kepada parti baru itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi PAN Selangor, Izham Hashim yang akan mengenal pasti calon-calon PAN  menjelang Ramadan nanti.

PAS Selangor bersedia berhadapan dengan mana-mana parti yang akan bertanding di kerusi milik PAS dan menganggap PAN bukan ancaman yang serius kepada PAS.

"PAS Selangor bersedia dan kami akan mempertahankan semua kerusi kami," tegasnya.

Beliau melahirkan rasa simpati dengan nasib PAN yang telah dilayan  dengan buruk oleh rakan-rakan parti dalam Pakatan Harapan. – HARAKAHDAILY 8/2/2016

Share on Myspace