Pakaian Cina: Khairuddin akur keputusan Majlis Syura

SAIDAH HAIRAN | .

KUALA LUMPUR: Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman bersedia dan terbuka untuk menerima apa sahaja pandangan dan keputusan daripada Majlis Syura Ulamak (MSU) terhadap tindakannya yang megenakan pakaian ala Maharaja China ketika menghadiri majlis perayaan Tahun Baru Cina.

Beliau mengakui kesilapannya dan menyerahkan segala keputusan terhadap tindakan itu kepada kebijaksanaan pimpinan PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak.

Ketika menghadiri majlis perayaan Tahun Baru Cina bersama masyarakat Tionghua di Wangsa Permai, Kepong beliau memakai pakaian Maharaja China kerana ia adalah pakaian budaya masyarakat Cina dan tidak ada kena mengena dengan agama kaum tersebut.

Beliau tidak tahu menahu pakaian yang dikenakannya itu menyerupai Dewa Cao Guo Jiu.

Katanya, persatuan penduduk Wangsa Permai memaklumkan ia adalah pakaian ala Maharaja China.

“Keyakinan saya bahawa perayaan Chinese New Year adalah berbentuk perayaan masyarakat Cina sebab itu saya percaya pakaian itu adalah budaya dan ia tidak ada kena mengena dengan agama mereka," katanya.

Bagi menghormati majlis dan budaya bangsa lain beliau tidak menolak permintaan daripada persatuan penduduk Wangsa Permai.

Sebagai Setiausaha PAS Selangor beliau menyerahkan isu itu kepada kepimpinan PAS Pusat serta Majlis Syura Ulamak untuk memutuskan kedudukannya dalam parti di Negeri Selangor.

"Saya serahkan isu ini kepada kepimpinan pusat untuk putuskan kedudukan saya. Sekiranya saya tersalah dari segi hukum, saya mohon keampunan dari Allah SWT dan saya mohon maaf kepada seluruh ahli dan pimpinan PAS khususnya di Selangor atas kesilapan saya ini," katanya.

Beliau bersedia dan terbuka untuk menerima apa sahaja pandangan dan tindakan selanjutnya daripada kepimpinan ulama yang diterajui Majlis Syura Ulamak.

"Saya yakin dan percaya PAS dipimpin oleh Kepimpinan ulama dan mereka lebih maklum dari segi hukum dalam masyarakat majmuk seperti Selangor. Apa pun pandangan nanti, saya terima, insya Allah," katanya. - HARAKAHDAILY 8/2/2016

Share on Myspace