Santai Honda Day tarik minat pemilik motosikal Honda

MUHAMMAD FADZLI ABU BAKAR | .

Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Dewan Pemuda PAS Selangor melalui DACS Motosport Club (DMC) telah berjaya menganjur satu program khusus untuk para pemilik motosikal Honda pelbagai jenis semalam, Ahad, 7hb Februari 2016 iaitu Santai Honda Day di Dataran Stadium Kuala Selangor, Selangor.

Sebanyak 300 buah motosikal Honda pelbagai jenis yang turut serta pada program ini.

Para pemilik motorsikal Honda ini bukan hanya dari Selangor malah mereka datang dari seluruh pelosok negara seperti dari Terengganu, Kelantan, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang semata-mata untuk berkumpul beramai-ramai di atas minat yang sama.

Terdapat 12 jenis motorsikal Honda yang menyertai Santai Honda Day kali ini seperti C70, Fame, Street Cup, EX5, Dash, Wave, Future, Spicy, Hurricane, MBX, Raider, NSR dan CBX.

Peminat motosikal Honda ini bukan hanya daripada kaum lelaki sahaja malah terdapat juga penunggang wanita yang turut hadir dengan motosikal Honda masing-masing.

Program bermula pada pukul 8.00 pagi dan tamat pada pukul 4.00 petang. Pelbagai acara dipertandingkan sepanjang program berlangsung seperti exzos bingit, motorsikal lambat, motorcub tercantik, motor paling tua, motor custom, MBX tercantik, klasik cub, retro open, klasik klac, raider tercantik, NSR tercantik, moden open, klac tercantik dan standard original.

Pertandingan khas turut dibuat untuk motosikal paling kemas, rider wanita dan motosikal paling rare. Pihak urusetia program turut menitikberatkan solat dalam program kali ini apabila semua peserta diminta untuk solat zohor berjamaah.

Menurut Saudara Salam Sujak, Pengarah Santai Honda Day, objektif program kali ini adalah untuk mengumpulkan seramai mungkin pemilik motosikal Honda yang ada di seluruh Selangor dan seluruh Malaysia di dalam satu program.

Ini kerana, jarang para pemilik motosikal Honda pelbagai jenis ini dapat berkumpul bersama dan bertukar-tukar fikiran di samping dapat berkenalan antara satu sama lain di atas minat yang sama iaitu Honda.

Dengan adanya program seperti ini, ianya dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan dan dapat berkongsi idea bagaimana untuk mencantikkan lagi motor masing-masing.

Santai Honda Day kali ini dihadiri oleh tetamu kehormat iaitu Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi, Saudara Muhammad Fadzli Abu Bakar (Pengarah DACS Selangor) dan Saudara Jafarudin Sheikh Daud (Ketua Pemuda Tanjong Karang).

Ustaz Syarhan Humaizi dan Fadzli turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Program ini juga disertai oleh pelbagai bangsa, agama dan golongan umur. Inilah sebenarnya yang telah memeriahkan Santai Honda Day 2016.

Melihat kepada sambutan yang amat menggalakkan daripada anak muda dan respons yang baik daripada para peserta, DACS Selangor insya Allah akan memperbanyakkan program seperti ini dan akan menjadikan himpunan para peminat motosikal Honda ini sebagai acara tahunan kami.

Ini komitmen kami selaku jabatan yang bertanggung jawab dalam bidang permotoran untuk menganjurkan lebih banyak program yang bermanfaat kepada anak muda yang cintakan bidang motosikal. - HARAKAHDAILY 8/2/2016

Penulis ialah Pengarah Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Selangor Dewan Pemuda PAS Selangor.

Share on Myspace