PBB tuduh rejim Syria bunuh ribuan tahanan

HARAKAHDAILY | .

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh rejim Syria membunuh beribu-ribu tahanan sebagai dasar "pemusnahan".

PBB menyebut langkah rejim Syria itu merupakan jenayah terhadap kemanusiaan, Anadolu Agency melaporkan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Geneva berkaitan laporan kematian tahanan di Syria, Ketua Suruhanjaya Bebas Penyelidikan PBB di Syria, Paulo Pinheiro menyeru kes ini dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

"Keganasan besar-besaran dan sistematik di Syria termasuk pembunuhan beribu-ribu tahanan di pusat tahanan rasmi dan kecemasan, telah terjadi dan jauh dari medan perang," kata laporan PBB, semalam.

Sebuah laporan baru daripada Suruhanjaya Bebas Penyelidikan PBB terhadap Syria berjudul Out of sight, out of mind: Deaths in detention in the Syrian Arab Republic berdasarkan kepada 621 temubual dan siasatan pembunuhan tahanan yang berlaku antara 10 Mac 2011 hingga 30 November 2015 di Syria.

"Para tahanan yang ditangkap oleh pemerintah dipukul sampai mati atau meninggal dunia akibat luka penyiksaan. Lain-lain mati akibat dari keadaan hidup yang tidak berperikemanusiaan," kata laporan tersebut.

"Kerajaan Syria telah melakukan jenayah terhadap kemanusiaan berupa pemusnahan, pembunuhan, pemerkosaan atau bentuk-bentuk kekerasan seksual, penyiksaan, pemenjaraan, penghilangan paksa dan tindakan tidak berperikemanusiaan lain," laporan itu menegaskan. [Islampos]

Share on Myspace