Usul Melayu rupa bangsa dapat sokongan PAS (1961)

HARAKAHDAILY | .

DATO' ONN KEMUKA USUL MELAYU DIJADIKAN RUPA BANGSA DENGAN SOKONGAN PAS (10 FEBRUARI 1961)

PADA hari ini dalam tahun 1961, pemimpin Parti Negara (PN), Dato' Onn Jaafar yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah mengemukakan satu usul ke Dewan Rakyat untuk menjadikan Melayu sebagai rupa bangsa dan kebangsaan bagi negara yang baru merdeka ini.

Usul ini diangkat oleh Dato' Onn dengan mendapat sokongan daripada PAS, kerana PN dan PAS telah membentuk kerjasama politik yang tidak rasmi semenjak 1959 sehingga membolehkan Dato' Onn sebagai ahli politik veteran menjadi ahli parlimen tunggal PN di Dewan Rakyat.

Sebenarnya semenjak sebelum merdeka PAS telah berpegang dengan hakikat bahawa Tanah Melayu adalah menjadi hak orang Melayu dan hak ketuanan Melayu ini mesti dipertegaskan dalam Perlembagaan Tanah Melayu merdeka, tetapi hasrat PAS tidak menjadi kenyataan kerana Umno mahukan Melayu diberikan hak-hak istimewa sahaja.

Dalam Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias pada 25 Disember 1955, telah dipertegaskan tentang Melayu sebagai rupa bangsa negara ini.

PAS turut mengingatkan Rombongan Kemerdekaan ke London pada 18 Januari - 8 Februari 1956 supaya tidak mengabaikan persoalan ketuanan Melayu dalam rundingan kemerdekaan.

Kepada Suruhanjaya Reid, dalam memorandum pada 14 Julai 1956, sekali lagi PAS menghuraikan persoalan rupa bangsa dan ketuanan Melayu, tetapi ia gagal mengubah sikap Suruhanjaya Reid yang lebih mengutamakan pandangan Umno.

Ekoran itu, pada 1 September 1958, PAS dalam kawatnya kepada Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra sekali lagi menegaskan bahawa Melayu mesti menjadi rupa bangsa dan kebangsaan bagi Tanah Melayu, tetapi pandangan ini tidak dihiraukan Umno.

Oleh kerana Umno gagal menjamin kedudukan orang Melayu ini, bekas Yang Dipertua Agung Umno, Dato' Onn Jaafar sebagai pemimpin utama PN telah membawa usul ke Dewan Rakyat pada 10 Februari 1961 bagi menjadikan Melayu sebagai rupa bangsa dan kebangsaan negara ini.

Usul yang dikemukakan dengan sokongan PAS ini sebenarnya telah disepakati bersama PAS dan PN dalam Kongres Kebangsaan Melayu Kedua pada 4-7 Mei 1957 di mana dalam kongres ini wakil PN telah mengangkat usul Melayu sebagai kebangsaan tunggal bagi Tanah  Melayu, manakala wakil PAS mencadangkan usul untuk menjamin ketuanan dan keistimewaan bangsa Melayu, selain kedudukan Islam dan bahasa Melayu.

Apabila usul ini diangkat ke Dewan Rakyat oleh Dato' Onn pada 10 Februari 1961, sembilan orang wakil rakyat Perikatan telah berucap menentang usul ini kerana menganggap ia akan menggugat kedudukan bangsa lain, sedangkan bagi PAS, kebangsaan Melayu bukan bermakna bangsa lain menjadi Melayu, tetapi mereka diberikan kerakyatan, manakala orang Melayu mempunyai hak yang mutlak ke atas negara ini.

Empat Ahli Parlimen PAS, iaitu Dr Burhanuddin al-Helmy (Besut), Othman Abdullah (Tanah Merah), Zulkifli Mohamad (Bachok) dan Khadijah Sidek (Dungun) telah berucap menyokong usul ini pada 11 Februari 1961.

Lanjutan daripada itu juga, pada 26 Mei 1967, ekoran lulusnya Akta Bahasa Kebangsaan 1967, PAS melalui Abu Bakar Hamzah (Bachok) telah sekali lagi mengemukakan usul untuk menjadikan Melayu sebagai rupa bangsa bagi Malaysia, tetapi Gagasan PAS terus dipinggirkan sehingga tercetusnya tragedi 13 Mei 1969.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
10 Februari 2016 - HARAKAHDAILY 10/2/2016

Share on Myspace