Langkah cegah demam denggi perlu ditingkatkan

SM MOHAMED IDRIS | .

Kebersihan persekitaran kawasan rumah, premis perniagaan, taman-taman permainan dan sebagainya perlu ditangani secara bersama untuk menjamin persekitaran bebas dari pembiakan nyamuk Aedes dan seterusnya dapat mencegah dari berlakunya demam denggi.

Masalah ini dapat dielakkan dan dikawal jika semua pihak benar-benar mengamalkan kebersihan di kawasan persekitaran dan sentiasa berwaspada kerana banyak kes jangkitan dilaporkan setakat ini.
 
Sahabat Alam Malaysia (SAM) memandang serius mengenai isu denggi yang melanda di beberapa buah negeri termasuklah Pulau Pinang sejak kebelakangan ini.

Buletin Mutiara melaporkan statistik kes demam denggi di Pulau Pinang telah meningkat dari 2,558 pada 2014 kepada 5,430 pada 2015.
 
Mengikut statistik yang dipapar dalam laman web  iDengue jumlah kes kematian kerana demam denggi dari 3 Januari 2016 sehingga 2 Februari 2016 ialah 32.  

Bilangan kes denggi  terkumpul  di Malaysia dari 3 Januari 2016 hingga 7 Februari 2016 adalah 17,493 kes (Sumber daripada Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan CPRC, Kementerian Kesihatan Malaysia).  

Jumlah kes denggi di Pulau Pinang ialah 911 dan kematian yang dilaporkan ialah 8 orang.
 
Peningkatan secara drastik kes denggi amat membimbangkan tatkala dunia dikejutkan dengan penularan virus Zika yang disebarkan melalui nyamuk Aedes.

Dianggarkan sebanyak 23 buah negara yang dilaporkan mengalami virus ini dan Brazil merupakan negara yang paling teruk terjejas dengan lebih 1.5 juta kes sejak April tahun lalu.
 
SAM memandang serius masalah ini kerana menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jangkitan virus Zika telah merebak dengan begitu pantas sekali di benua Amerika dan pihak KKM berpandangan risiko bagi penularan jangkitan ini ke Malaysia adalah tinggi di atas beberapa faktor. Antaranya nyamuk pembawa jangkitan ini iaitu nyamuk Aedes.
 
Tinjauan yang dijalankan oleh SAM di beberapa buah kawasan seperti di taman perumahan, kampung, taman permainan, kawasan riadah, bangunan kedai, tempat pembinaan mendapati salah satu sebab punca berlakunya wabak denggi ialah air bertakung kerana sistem perparitan yang kurang memuaskan serta longgokan sampah yang menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.  
 
KKM menasihatkan agar semua bekas yang boleh menakung air hujan atau lebihan air adalah dimusnahkan. Ini termasuk besen, tayar lama, bekas plastik, tong dan sebagainya yang memungkinkan berlakunya pembiakan nyamuk Aedes.

Orang ramai diminta untuk memainkan peranan dan bersatu hati membersihkan kawasan premis dan kejiranan masing-masing dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

SAM percaya bahawa majoriti masyarakat sedar tentang bahaya denggi namun tahap kesedaran mengenai punca-punca berlakunya kes-kes sedemikian masih kurang memuaskan.
 
Oleh itu, SAM menyeru kepada masyarakat dan pihak berkuasa agar memberi perhatian yang serius dengan berkerjasama dalam menjalankan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan nyamuk secara tetap dan berkala.

Segala usaha bagi mencegah denggi hendaklah dipertingkatkan kerana ia juga akan mengurangkan risiko penularan jangkitan virus Zika. - HARAKAHDAILY 10/2/2016
 
Penulis ialah Presiden SAM.

Share on Myspace