Kerajaan negeri, Pemuda PAS bantu mangsa ombak

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Mangsa ombak besar di Pulau Kundur dekat sini mendapat simpati kerajaan negeri dan Pemuda PAS Kelantan.

Pagi tadi mangsa-mangsa ombak terbabit menerima sumbangan disampaikan Ketua Pemuda PAS negeri, Ahmad Fadhli Shaari dan anggota-anggota exconya.

Beliau berkata sumbangan itu diharap sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang ditanggung mangsa-mangsa ombak besar.

“Mereka berdepan dengan banyak kesukaran termasuk rumah dan perabot rosak akibat dipukul ombak. Mereka juga terpaksa menyelamatkan diri dan keluarga dengan menumpang di pusat pemindahan,” katanya di sini.  

Baru-baru ini 16 keluarga yang tinggal di Pulau Kundur dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Pulau Kundur disebabkan air pasang besar.

Mereka berpindah ke penempatan tersebut kali kedua tahun ini. Dua hari lepas mangsa-mangsa terbabit diziarahi Menteri Besar dan wakil-wakil rakyat.

Pada kunjungan itu Ustaz Datuk Ahmad Yakob menyampaikan sumbangan kepada 85 mangsa di Sekolah Kebangsaan Kundur. Mereka menumpang di situ sejak lebih seminggu lepas.

Ustaz Ahmad juga berkata kerajaan negeri sudah mengenal pasti tapak yang sesuai untuk dijadikan penempatan mangsa ombak besar. - HARAKAHDAILY 10/2/2016

Share on Myspace