Mangsa banjir cedera di paha diserang buaya

BERNAMA | .

KUCHING: Seorang mangsa banjir di Kampung Tupong Ulu cedera di paha kanannya selepas digigit buaya malam tadi.

Shakawi Suhaili, 55, berkata ketika kejadian dia mengalihkan kayu di bawah rumah sebelum reptilia itu tiba-tiba muncul menyerang.

"Dalam 10.30 malam selepas mengalih kayu buaya itu menyerang dan terkam bahagian paha saya," katanya kepada pemberita di kediamannya hari ini.

Shakawi berkata serangan buaya malam tadi merupakan pengalaman pertamanya dan tidak menjangka kawasan sekitar rumah di tepi Sungai Sarawak itu turut didiami buaya.

Sementara itu anak Shakawi, Muhd Ikhmal berkata dia tidak menyedari bila bapanya turun ke bawah rumah mengalih kayu.

Namun terkejut melihat bapanya dibantu jiran-jiran dan abangnya naik ke atas rumah selepas serangan itu.

Shakawi yang diserang buaya dibawa ke Hospital Umum Sarawak malam tadi dan dibenarkan keluar hari ini. - Bernama

Share on Myspace