Kelantan terus pertahan pendidikan agama

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Mengurus 89 sekolah agama dengan bilangan pelajar lebih 37,000 orang bukan tugas mudah. Paling terasa kos pengurusan yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri.

Bagi pemimpin Umno Kelantan teori mereka mudah, serah sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) kepada kerajaan pusat bagi mengurangkan bebanan kewangan kerajaan negeri.

Sebaliknya bagi kerajaan negeri mempertahankan sistem pembelajaran agama lebih penting, mengelakkan subjek agama dan bahasa Arab terkubur begitu sahaja.

Contohnya, setelah beberapa sekolah agama diserah kepada Kementerian Pelajaran semasa Kelantan di bawah pentadbiran Barisan Nasional, banyak mata pelajaran agama dicicirkan.

Hasilnya tidak ada sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) di bawah kementerian pelajaran yang layak menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata bagi mengurangkan bebanan kewangan, kerajaan negeri menganugerah tanah kepada Yik untuk membangunkan ladang.

“Tanah diberi kepada Yik untuk mendapat pulangan ekonomi bagi mengurangkan pengantungan kepada kerajaan negeri.

“Ekoran itu Yik mengadakan kerjasama dengan syarikat swasta bagi membangunkan tanah untuk memberi pulangan hasil,” katanya di sini.

Menurutnya sehingga sekarang Yik mengadakan kerjasama dengan 13 syarikat bagi membangunkan tanah tersebut.

Kata beliau hasil usahasama membangunkan ladang sawit Yik mendapat pulangan hasil sebanyak RM12 juta setahun.

Tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM78 juta kepada Yik bagi melaksanakan program pendidikan.

Selain itu sebanyak RM4 juta lagi untuk pembangunan baru, menaik taraf dan menyelenggara bangunan sekolah. – HARAKAHDAILY 11/2/2016

Share on Myspace