AADK: Penagih dadah di seluruh negara meningkat

BERNAMA | .

SEREMBAN: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) merekodkan 22,000 penagih dadah pada tahun lepas berbanding 20,000 pada 2014 dengan peningkatan 2,000 penagih di seluruh negara, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Suhaimi Abdullah.
    
Suhaimi berkata daripada 22,000 penagih itu, 60 peratus adalah penagih baharu manakala baki adalah penagih berulang.
    
"Penagih baharu adalah mereka dalam kalangan remaja berumur 15 tahun ke atas dan penglibatan mereka berpunca daripada masalah keluarga, persekitaran selain bekalan dadah mudah didapati," katanya kepada pemberita dalam sidang media sebelum pelancaran Jelajah AADK Ekspedisi Membanteras dadah di sini, hari ini.
    
Suhaimi berkata bagi Negeri Sembilan, AADK merekodkan 2,234 penagih dadah pada tahun lepas berbanding 2,152 pada 2014 iaitu peningkatan 82 kes.  
    
Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri komited dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah dan projek rintis 'Kampung Bebas Dadah' yang dilaksanakan di Sungai Buloh, Jelebu pada tahun lepas merupakan satu daripada inisiatif bagi membasmi gejala itu.
    
Mohamad berkata projek itu yang mencatat pencapaian yang memberangsangkan apabila tiada kes penagih dadah baharu direkodkan di kawasan tersebut, akan dikembangkan di seluruh daerah di negeri ini.
    
"Kami akan buat pertandingan Kampung Bebas Dadah dan Piala Anugerah Perdana Menteri serta hadiah dalam bentuk projek, supaya pihak JKKK nampak dia buat pertandingan dan dia dapat hadiah...ini sedang saya rundingkan," katanya dan menambah pertandingan tersebut mampu memberi galakan kepada masyarakat untuk sama-sama terlibat memerangi dadah.
    
Mohamad berkata kerajaan negeri menyasarkan menjadi negeri bebas dadah menjelang 2020 dengan pelbagai usaha dan pelan tindakan yang dibuat dan digubal bagi memerangi musuh utama negara.
    
Beliau berkata usaha memerangi penyalahgunaan dadah yang dilaksanakan kerajaan negeri adalah setaraf dengan usaha-usaha yang dibincangkan dalam Jawatankuasa Bencana.
    
Berdasarkan pemprofilan AADK, 16 kawasan berisiko tinggi dikenal pasti di Negeri Sembilan dan 178 kawasan berisiko tinggi dikenal pasti di seluruh negara. - Bernama

Share on Myspace