Kerajaan digesa iktiraf UEC dan martabatkan STAM

HARAKAHDAILY | .

KERAJAAN persekutuan (Kementerian Pelajaran) sepatutnya mengembalikan ‘Kuasa Autonomi’ berhubung dengan pelajaran kepada Sarawak seperti yang termaktub dalam perkara asas Pembentukan Malaysia dalam Perkara 15: Pelajaran “Sistem pendidikan yang sedia ada perlu dikekalkan di bawah kawalan kerajaan negeri”.
 
Sarawak perlu diberi kuasa autonomi dalam bidang pelajaran di mana kerajaan Sarawak boleh meningkatkan lagi prestasi pelajar dalam bidang pelbagai kemahiran. Pelajar zaman sekarang perlu menyiapkan diri mereka dengan berbagai bidang kemahiran atau kepakaran untuk masa depan mereka.
 
Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Usaha berterusan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan Satem dalam memastikan UEC diterima sewajarnya diberi pujian. Biarpun tidak mendapat pengikitirafan dari Kerajaan BN peringkat persekutuan, sikap konsisten Ketua Menteri Sarawak dalam perkara autonomi pendidikan diharap memberi manfaat pada rakyat Sarawak keseluruhannya.
 
Kementerian Pendidikan Tinggi kekal dengan keputusan tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi tujuan kemasukan ke universiti awam.
 
Walaupun kerajaan persekutuan tidak mengiktirafkan UEC, menurut Ketua Menteri, UEC yang ditawarkan oleh sekolah persendirian Cina di negeri ini telah diterima oleh universiti swasta termasuk Swinburne Universitiy of Technology, Curtin University selain universiti luar negara. Bagaimanapun tegasnya hanya universiti awam di Malaysia sahaja yang tidak memberi pengiktirafan kepada UEC.
 
Di peringkat negeri Selangor di bawah kerajaan Pakatan Rakyat sebagai contoh, Universiti Selangor (Unisel) yang merupakan universiti milik penuh kerajaan negeri akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi sekolah menengah persendirian Cina mulai tahun 2016 ini.
 
Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berkata, langkah itu bertujuan untuk menangani masalah penghijrahan cendekiawan yang semakin serius. "Statistik menunjukkan bahawa seramai 3,000 pelajar menamatkan pengajian mereka dengan UEC setiap tahun," kata Azmin semasa membentangkan bajet di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada sesi lalu. Sesungguhnya, peranan besar yang dimainkan oleh sekolah jenis kebangsaan Cina dalam membangunkan modal insan haruslah diiktiraf.
 
Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)
Disamping pendidikan akedemik, dalam masa yang sama PAS juga menyeru pendidikan Islam juga haruslah dimartabatkan. Usaha Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud sebelum ini dalam penawaran Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pesantren Abdul Taib Mahmud seharusnya diteruskan oleh Ketua Menteri Sarawak sekarang.
 
Sekolah ini menjadi sekolah luar bandar pertama di Sarawak menawarkan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kepada pelajarnya. Ini merupakan satu proses transformasi pendidikan yang diperkenalkan bagi membolehkan pelajar sekolah di Sarawak mendapat Sijil tersebut dalam negeri sendiri.
 
Sijil Tinggi Agama Malaysia merupakan peperiksaan yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) bagi membolehkan pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar dan yang setaraf dengannya.
 
Secara amnya, peperiksaan ini diambil selepas mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia atau semasa di Tingkatan Enam. STAM diperkenalkan untuk memastikan pelajar lepasan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) melalui satu sistem pendidikan yang seragam dan diiktiraf di dalam dan luar negara.
 
STAM juga diperkenalkan untuk memastikan pelajar Malaysia yang diterima masuk ke Universiti Al-Azhar dan universiti yang setaraf dengannya di dalam dan di luar negara, terdiri daripada mereka yang benar-benar berkelayakan dan dapat memiliki ijazah dalam jangka masa yang paling singkat.
 
Sijil Tinggi Agama Malaysia mula diperkenalkan pada tahun 2000 hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Universiti al-Azhar. Ia bertujuan menyelaraskan dan menggantikan beberapa peperiksaan persendirian yang telah wujud sebelum itu, contohnya Sijil Tinggi Kolej dan Sijil Tinggi Ugama.
 
Secara ringkas antara kelebihan STAM
-STAM hampir setaraf dengan STPM sebab kerajaan / Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) iktiraf STAM setaraf STPM
- Tempoh pengajian lebih pendek iaitu setahun
- Bilangan kursus yang ditawarkan banyak meliputi IPTA, UIA, UKM, UM, USIM, UUM, dan UDM.
- Tidak terhad pada kursus agama semata, boleh masuk kursus Sains Sosial & Kemanusiaan eg: Sains Politik, Komunikasi Mass Media, Sejarah, Antropologi etc (UKM,UIA), Undang-undang -LLB (USIM,UDM), Ekonomi (UDM,USIM), Perbankan dan Kewangan (UUM) dan Pengajian Islam (UIA,UKM,UM,UDM), Keusahawanan (UMK) dan lain-lain kursus kesenian.
-Boleh pergi Al-Azhar Mesir.
-Yuran dan Kos pengajian yang murah (yuran sekolah)
 
Pelajaran agama juga amat penting untuk rakyat Sarawak terutama kepada golongan muda Muslim yang masih memerlukan bimbingan antara kepentingan keduniaan dan akhirat.
 
Dengan kuasa autonomi pendidikan ini, PAS mengesa pengiktirafan UEC yang diusahakan oleh Ketua Menteri Sarawak diteruskan disamping pengukuhan pendidikan Islam di Sarawak dengan penambahbaikan STAM di sekolah terpilih. Pendidikan yang berkualiti akan menjamin kesejahteraan rakyat Sarawak.
 
Kita mengharapkan agar Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan Satem sebagai Ketua Menteri Sarawak untuk memastikan pendidikan Islam terjamin dan diberi pengiktirafan yang sewajarnya. Mereka yang mempunyai pendidikan agama bukan semata-mata untuk keagamaan saja tapi ia merangkumi pendidikan akademik dan professional. Maka sewajar diberi pengiktirafan oleh kerajaan Sarawak untuk keseimbangan antara keduniaan dan akhirat.
 
Usaha Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan Satem untuk mendapatkan kuasa autonomi dari kerajaan persekutuan adalah satu usaha yang patut diberi sokongan. Kita tidak mahu kuasa autonomi itu nanti disalahgunakan oleh pihak tertentu yang ada kepentingan yang akan menyusahkan kehidupan rakyat tempatan yang masih memerlukan kemudahan asas dan juga hak milik tanah sendiri dari dicerobohi atau diambil alih oleh mereka yang berkuasa.
 
JOFRI JARAIEE
Pesuruh Jaya PAS Sarawak, YDP PAS Miri – HARAKAHDAILY 12/2/2016

Share on Myspace