JPPM, polis pantau pertubuhan tidak berdaftar

BERNAMA | .

KANGAR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mempergiatkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memantau pertubuhan haram di negara ini yang berisiko menggugat keamanan negara.
    
Penolong Pengarah Pengurusan JPPM Rosliza Mahidi berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pertubuhan haram berkenaan mengikut Akta Pertubuhan 1966.
    
"Jika pertubuhan itu berisiko menggugat keamanan, bertentangan dengan prinsip agama rasmi negara termasuk dasar kerajaan, maka ia secara serta-merta tertakluk di bawah bidang kuasa PDRM," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat 'Kepentingan Pertubuhan Berdaftar' kepada lebih 200 peserta di sini, semalam.
    
Katanya, JPPM juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi memantau aktiviti pertubuhan atau kelab yang bergerak melalui platform media sosial yang tidak memperincinkan segala visi, aktiviti dan anggota mereka.
    
Menurut beliau senario itu turut membimbangkan JPPM dan menasihatkan pemimpin pertubuhan haram berkenaan agar segera mendaftar bagi mengelak timbulnya sebarang masalah atau dikenakan tindakan. - Bernama

Share on Myspace