Aziz M Osman kagumi TG Nik Aziz

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Pengarah filem, Aziz M Osman mengagumi Ketokohan dan keperibadian yang dimiliki Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau tanpa berselindung mengakui ketokohan yang dimiliki Almarhum itu perlu dicontohi semua pihak.

"Pendekatan yang dibawa cara yang lembut, memujuk untuk menarik orang luar mendekati Islam.

"Apabila kuliah atau ceramah beliau, kita lihat ramai yang datang dan saya kagum melihat perkembangan tersebut, suatu yang positif diterap oleh Almarhum," katanya pada program Bicara Harakah "Mengenang Murrabi Ummah" di MyHarakah Bazar.

Aziz yang sebelum ini pernah berjumpa Nik Aziz turut berkata perwatakan yang dimiliki Almarhum menyebabkan beliau menjadi ikon kepada segenap lapisan masyarakat.

"Ketika kita menjadi ketua apabila pekerja tidak dengar apa yang kita katakan, kita akan tonjolkan kita sebagai ketua, tetapi sikap tersebut sebenarnya satu kegagalan kepada kita.

"Sikap sebenar adalah pada Almarhum, sikap memujuk yang bersederhana dan itu sikap yang terbaik untuk kita turuti," katanya lagi.

Tambah beliau, ajaibnya Nik Aziz ketika membaca al-Quran semua senyap sehinggakan pin jatuh pun boleh didengari.

"Hening apabila Almarhum imamkan solat, lembutnau setiap bacaan beliau," sambung beliau.

Aziz yang berpendapat, ketokohan Rasulullah sebagai pemimpin ummah boleh dilihat pada perwatakan dan kewibawaan Nik Aziz sepanjang beliau mentadbir Kelantan.

"Contoh akhlak yang baik ditunjukan beliau, saya kagum, sikap sederhana dimilikinya, lihatlah rumah beliau bagaimana," kata Aziz lagi.

Almarhum meninggal dunia pada 12 Februari tahun lalu dikediamannya di Kampung Pulau Melaka. – HARAKAHDAILY 13/2/2016

Share on Myspace