Sejarah: PAS desak Anwar tarik kenyataan iktiraf Israel

HARAKAHDAILY | .

HARI INI DALAM SEJARAH PAS: PAS DESAK ANWAR TARIK BALIK KENYATAAN IKTIRAF ISRAEL (13 FEBRUARI 2012)

PADA hari ini dalam tahun 2012, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memaklumkan kepada media massa bahawa Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil pendirian yang PAS tidak mengiktiraf negara haram Israel dan mendesak Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menarik balik kenyataannya yang menyokong konsep penyelesaian dua negara, satu negara untuk rakyat Palestin dan satu negara untuk Yahudi Zionis, Israel.

Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil pendirian ini ekoran satu berita yang disiarkan oleh Wall Street Journal (WSJ) bahawa Datuk Seri Anwar menyokong usaha penyelesaian dua negara untuk menjaga keselamatan Israel.

Ekoran laporan WSJ ini, para pemimpin Umno telah membuat kritikan dan kecaman terhadap Datuk Seri Anwar yang dilihat mengikut jejak langkah Barat dalam isu Israel ini. Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya pada 11 Februari 2012 menegaskan bahawa PAS menolak formula penyelesaian dua negara bagi menyelesaikan konflik Asia Barat.

PAS berpegang bahawa haram menerima kewujudan negara haram ini. Para pemimpin Umno pula mendakwa kenyataan itu memalukan negara dan umat Islam.

Kenyataan Datuk Seri Anwar ini telah mendapat komen negatif yang meluas daripada ahli-ahli politik semenjak akhir Januari 2012 lagi, yang bukan sahaja telah memberikan kesan buruk kepada imej umat Islam dan negara, tetapi juga kepada pakatan pembangkang.

Atas sebab kenyataan Datuk Seri Anwar yang kemudiannya didakwa oleh beliau sebagai dimanipulasikan, Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil pendirian untuk mendesak Datuk Seri Anwar agar menarik balik kenyataannya atau jika ia tidak benar, beliau perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ untuk membersihkan nama beliau.

PAS berpegang dengan prinsip bahawa Palestin adalah hak umat Islam dan haram menerima kewujudan negara haram Israel itu.

Menurut Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz, keselamatan Israel bukan menjadi tanggungjawab umat Islam atau orag Arab, tetapi ia adalah akibat kezaliman Yahudi sendiri kerana mereka telah menubuhkan negara haram atas dasar kezaliman.

"Islam lebih mementingkan hak asasi, keadilan, kemanusiaan dan hubungan baik, tetapi sesekali tidak akan berkompromi dengan kezaliman ini," kata Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz.

Sebagai menunjukkan pendiriannya, PAS telah menghantar surat dari Majlis Syura Ulamak PAS kepada Datuk Seri Anwar untuk mendesak beliau menarik balik kenyataannya itu.

MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS – HARAKAHDAILY 13/2/2016

Share on Myspace