Perlu kaji cadangan naik kompaun pesalah trafik

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Satu kajian holistik perlu dijalankan terhadap cadangan menaikkan kompaun maksimum kepada pesalah trafik sambil mengambil kira kesan kenaikan kos sara hidup ketika ini.
    
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Prof Dr Wong Shaw Voon berkata kajian menyeluruh itu penting kerana kemalangan jalan raya juga berpunca daripada faktor lain, selain kelalaian pemandu.
    
Bagi Pengerusi MIROS Tan Sri Lee Lam Thye pula, cadangan kenaikan denda kepada pesalah trafik tidak akan mencapai sasaran mengurangkan kemalangan jalan raya jika tidak disertakan dengan penguatkuasaan yang ketat serta kempen yang berkesan.
    
"Sebanyak 140,000 saman trafik yang dikeluarkan polis sejak Op Selamat 8 bermula pada 1 Feb lepas menunjukkan rakyat Malaysia tidak bimbangkan saman itu.
    
"Ia memerlukan usaha bersepadu pelbagai pihak termasuk ibu bapa, guru, polis, pihak berkuasa keselamatan jalan raya dan badan bukan kerajaan untuk mengubah pemikiran serta sikap pengguna," katanya dalam kenyataan.
    
Sementara itu, penganalisis jenayah dan keselamatan, Kamal Affendi Hashim berpendapat cadangan menaikkan kompaun yang dicadangkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar baru-baru ini adalah munasabah.
    
"Kes kemalangan di negara ini amat tinggi, jadi dengan cadangan seperti itu ia akan dapat mendidik pengguna jalan raya supaya memandu dengan lebih berhemah," katanya.
    
Kamal berkata pengguna jalan raya tidak perlu bimbang kerana hanya mereka yang tidak berhemah dan suka melanggar peraturan sahaja yang akan dikenakan tindakan.
    
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan yang dikemukakan itu masih belum dimuktamadkan.
    
"Pandangan itu disebabkan oleh rasa kecewa (apabila) denda dan hukuman tidak memberi kesan, maka ia (cadangan itu) menimbulkan reaksi. Saya minta masyarakat beri pandangan yang terbaik yang harus dilakukan," kata Ahmad Zahid. - Bernama

Share on Myspace