PAS tolak dakwaan terlibat rancang kerajaan buangan

HARAKAHDAILY | .

PAS TOLAK DAKWAAN TERLIBAT MERANCANG KERAJAAN DALAM BUANGAN (14 FEBRUARI 1965)

PADA hari ini dalam tahun 1965, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menolak dakwaan Naib Yang Dipertua Agungnya yang ditahan ISA, Dato' Raja Mohd Hanifah Abdul Ghani bahawa PAS terlibat merancang penubuhan kerajaan dalam buangan di luar negara.

Menyesali pengakuan yang dibuat oleh Dato' Raja Mohd Hanifah pada 13 Februari 1965 ini, PAS menganggap semua pengakuan itu sebagai tindakan peribadi Naib Yang Dipertua Agungnya tanpa pengetahuan parti, sedangkan PAS tidak pernah berniat dan merancang untuk membelakangi Perlembagaan negara.

Dato' Raja Mohd Hanifah telah ditahan ISA pada 25 Januari 1965, empat hari sebelum Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy ditahan.

Mereka dituduh merancang kegiatan subversif untuk menguasai negara ini secara tidak demokratik.

Di sebalik penafian Dr Burhanuddin al-Helmy tentang penglibatannya, Dato' Raja Mohd Hanifah telah membuat pengakuan suka rela pada 13 Februari 1965 yang telah disiarkan di radio dan televisyen bersama Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), pemimpin Parti Buruh.

Ketika membuat pengakuan yang turut ditayangkan di Parlimen pada 5 Mac 1965 ini, Naib Yang Dipertua Agung PAS itu telah mendakwa bahawa PAS telah menerima sejumlah wang daripada agen Indonesia untuk Pilihan Raya Umum 1964; telah menghantar enam Pemuda untuk 'berlatih' di Indonesia; dan telah merundingkan dengan Indonesia di Tokyo untuk menubuhkan sebuah kerajaan dalam buangan di luar negara.

PAS yang menentang penubuhan Malaysia dan memperjuangkan Melayu Raya telah dituduh menyokong Indonesia dalam isu Konfrantasi Indonesia ketika itu.

Mengulas tentang pengakuan Dato' Raja Mohd Hanifah ini, bekas Menteri Kabinet yang juga Presiden National Convention Party (NCP), Abdul Aziz Ishak yang turut ditahan ISA, telah menjelaskan bahawa beliau diberitahu oleh Dato' Raja Mohd Hanifah yang semua kegiatan subversif itu adalah tindakan peribadi beliau tanpa pengetahuan PAS, dan beliau terpaksa membuat pengakuan sebegitu kerana dijamin akan mendapat pembebasan segera.

Memandangkan PAS tidak terlibat dalam kegiatan subversif seperti yang didakwa ini, PAS bukan sahaja menyesali tindakan Naib Yang Dipertua Agungnya ini, tetapi turut menafikannya pada 14 Februari 1965, yang disusuli oleh penjelasan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah kepada semua Cawangan PAS melalui pekeliling parti pada 7 Mac 1965 tentang pengakuan tersebut.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
14 Februari 2016 - HARAKAHDAILY 14/2/2016

Share on Myspace