Kualiti pejuang (pemimpin dan pengikut)

NASRUDIN HASSAN | .

Marilah kita bersimpuh seketika untuk meneliti firman Allah dari Surah Al-Baqarah ayat 249.

Suatu ayat yang menjelaskan kepada kita bagaimana kualiti pejuang untuk membawa pulang kemenangan.

Firman Allah swt:

فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِالْجُنُودِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ مُبْتَلِيكُم بِنَهَرٍ فَمَن شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَمَن لَّمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُ مِنِّي إِلَّا مَنِ اغْتَرَفَ غُرْفَةً بِيَدِهِ فَشَرِبُوا مِنْهُ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ فَلَمَّا جَاوَزَهُ هُوَ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ قَالُوا لَا طَاقَةَ لَنَا الْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ قَالَ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُو اللَّهِ كَم مِّن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ

Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar". (Surah Al Baqarah: 249)

Ringkasan

a) Perjuangan ini akan dirintang dengan ujian yang sangat mengujakan. Dalam ayat ini, ujiannya ialah sebatang sungai yang dibentang di hadapan mereka detik mereka sangat kehausan setelah meredah perjalanan yang jauh di bawah panas terik matahari.

b) Arahan dikeluarkan oleh pemimpin dan ia mesti dipatuhi oleh pengikut meskipun arahan itu agak sukar dan dilihat tidak masuk akal. Mentaati arahan yang sukar memerlukan kesabaran yang tinggi pula.

c) Ketaatan kepada pemimpin adalah sebahagian dari syarat kemenangan. Sebagaimana sabar menghadapi ujian untuk sebuah ketaatan juga menjadi syarat kemenangan yang dijanjikan.

d) Pejuang yang memiliki kualiti kepatuhan tinggi serta sabar, meskipun jumlahnya kecil adalah jauh lebih baik berbanding jumlah yang ramai tetapi tidak berkualiti.

e) Tanggungjawab pemimpin untuk memilih pengikut yang setia sebagaimana pengikut memilih pemimpin yang baik adalah asas pembentukan sebuah gerakan yang mantap dan hebat. - HARAKAHDAILY 14/2/2016

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Pusat.

Share on Myspace