Jabatan Hal Ehwal Felda PAS Pusat ditubuh

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS telah menubuhkan Jabatan Hal Ehwal Felda PAS Pusat pada mesyuarat ahli jawatankuasa PAS, semalam.

"Jabatan ini berada di bawah pengawasan Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal," ujar pengerusi lajnah itu, Razman Zakaria kepada Harakahdaily.

Katanya, mantan CEO Koperasi Permodalan Felda, Datuk Sarchu Sawal dilantik untuk mengetuai jabatan itu.

"Beliau adalah orang yang terlibat membangunkan Felda bersama dengan tokoh Felda Tan Sri Raja Alias," katanya.

Menurutnya, pelantikan itu adalah pertimbangan parti selaras dengan pendekatan politik matang dan sejahtera yang diambil oleh PAS.

Pesuruhjaya PAS Perak itu menambah, Sarchu akan memainkan peranan sebagai timbang tara bagi memastikan pelaburan Felda tidak mengambil  risiko yang memberi kesan negatif kepada peneroka.

Beliau berkata, pendekatan diambil jabatan itu bagi membetulkan kesilapan dan memberi cadangan penyelesaian yang boleh memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

Tambahnya, jabatan khas menangani hal ehwal Felda ditubuhkan adalah kerana PAS memandang serius ke atas nasib 122,636 keluarga peneroka yang melibatkan lebih 2 juta warga Felda. - HARAKAHDAILY 14/2/2016

Share on Myspace