Isu Bauksit: Wajibkan penyertaan awam

HUZIR SULAIMAN | .

LAJNAH Asas Tani & Alam Sekitar PAS Pusat (LATAS) ketika mengadakan pertemuan dengan pegawai Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Jabatan Alam Sekitar di Putrajaya pada 14 Januari sebulan yang lalu telah mendesak agar PAS serta NGO Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (GERAM) dilibatkan sama di dalam Sekretariat bersama Agensi dan Jabatan yang berkaitan dalam merangka pelan tindakan sepanjang tempoh moratorium tiga bulan itu yang sudah bermula semenjak 15 Januari yang lalu.

Kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dipetik baru-baru ini berkenaan keputusan membenarkan penggunaan lori Paka untuk mengangkut Bauksit, laluan pengangkutan khusus serta pematuhan kepada had simpanan Bauksit di Pelabuhan Kuantan perlulah dirujuk kepada semua pihak yang berkepentingan terlebih dahulu khususnya penduduk yang terdekat.

Keputusan Menteri Pengangkutan itu pada pandangan PAS bakal mencetuskan pelbagai persoalan baru serta keraguan tambahan dari Rakyat, lebih-lebih lagi masalah yang berlaku sebelum ini berpunca daripada garis panduan serta kawalan yang kurang jelas.

Persoalannya, Adakah garis panduan serta langkah kawalan baru yang dirangka sepanjang tempoh tiga bulan moratorium itu betul-betul kukuh untuk memastikan masalah sama daripada perlombongan serta pengangkutan Bauksit itu tidak berulang lagi?

Setelah Rakyat ditimpa pelbagai kesusahan serta ancaman keselamatan dan kesihatan daripada perlombongan Bauksit sekian lamanya, adalah tidak wajar bagi pihak kerajaan untuk mengenepikan permintaan PAS serta NGO GERAM untuk terlibat sama dalam merangka pelan tindakan serta garis panduan itu.

Malah PAS dan NGO GERAM juga ingin mendesak agar keputusan analisa sumber air sungai yang terlibat didedahkan kepada pengetahuan umum dan jika terbukti berlakunya pencemaran terhadap sumber air serta hidupan sungai dan laut seperti yang pernah dilaporkan NST, PAS serta NGO GERAM ingin mendesak agar Sekretariat yang terlibat mengambil kira cadangan Menteri Kesihatan sendiri untuk menghentikan terus aktiviti perlombongan Bauksit di Kuantan.

PAS sehingga ke hari ini masih konsisten dengan pendirian awal bahawa tempoh tiga bulan moratorium tidak memadai untuk menyediakan garis panduan serta langkah kawalan yang konkrit, malah tempoh tiga tahun yang pernah dicadangkan PAS sebelum ini adalah satu tempoh yang realistik lebih-lebih lagi beberapa persoalan berkenaan isu terlepas pandang banyak bidang utama yang melibatkan aktiviti perlombongan, tiada kriteria tertentu kepada pemohon lesen perlombongan, tiada keperluan penerima lesen untuk menyediakan laporan teknikal serta ketiadaan tender terbuka masih belum terjawab lagi.

Benarkan PAS serta NGO GERAM untuk mewakili penduduk yang terlibat dalam Sekretariat bersama Agensi dan Jabatan sepanjang tempoh moratorium tiga bulan ini agar garis panduan serta langkah-langkah kawalan yang dirangka dapat memenuhi keperluan semua pihak yang berkepentingan khususnya keperluan keselamatan serta kesihatan penduduk yang terkesan dari industri perlombongan Bauksit ini di Kuantan. – HARAKAHDAILY 15/2/2016

(Penulis adalah Setiausaha Lajnah Asas Tani & Alam Sekitar PAS Pusat)

Share on Myspace