Terlalu ramai buruh asing boleh ancam keselamatan

JOFRI JARAIEE | .

INDUSTRI pembinaan dan juga sektor pertanian di Malaysia amat memerlukan ramai tenaga buruh yang mahir dan separa mahir untuk menjanakan ekonomi negara. Permintaan guna tenaga yang tinggi amat diperlukan dalam semua sektor ekonomi negara.
 
Memang tidak dinafikan masalah tenaga buruh dalam negara ini amat diperlukan kerana kebanyakan orang tempatan terutama graduan lepasan pendidikan tinggi lebih suka bekerja di tempat yang berhawa dingin dibanding dengan bekerja di bawah terik matahari.
 
Ini adalah antara masalah yang menyebabkan mereka kurang berminat untuk bekerja sebagai tenaga buruh walaupun sekarang ini untuk mendapatkan pekerjaan di syarikat swasta dalam bidang pentadbiran pun susah kerana kebanyakan syarikat memerlukan tenaga mahir dalam bidang industri.
 
Mungkin disebabkan industri pembinaan dan sektor pertanian amat memerlukan tenaga buruh maka kerajaan Malaysia mengambil tenaga buruh asing dari Bangladesh seramai 1.5 juta orang untuk memenuhi permintaan tersebut.
 
Sarawak juga tidak terlepas dari masalah kekurangan tenaga buruh terutama dalam sektor pertanian dan juga industri pembinaan. Banyak projek baru yang memerlukan tenaga buruh yang mahir dan separa mahir dalam bidang tersebut. Walaupun ada juga penduduk tempatan yang bekerja dalam bidang tersebut tapi ia amat sedikit kerana ramai yang bekerja di luar negara seperti negara jiran yang menawarkan gaji yang lumayan dibanding tawaran bekerja di negara sendiri.
 
Lebih-lebih lagi sekarang ini nilai mata wang Malaysia jatuh kalau dibandingkan dengan nilai mata wang asing yang tinggi. Kebanyakan penduduk tempatan yang bekerja di luar negara adalah yang mahir dalam bidang industri. Mereka lebih suka bekerja di luar negara kerana pendapatan mereka yang tinggi yang dapat menampung pembelanjaan hidup yang semakin meningkat di dalam negara.
 
Pengambilan tenaga buruh asing yang terlalu ramai boleh menjejaskan keselamatan negara terutamanya apabila mereka datang beramai-ramai dan menjejaskan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.
 
Mereka yang datang beramai-ramai boleh menubuhkan kumpulan atau persatuan diantara mereka yang boleh menyebabkan mereka jadi berani dan boleh bertindak sekiranya permintaan mereka tidak dipenuhi suatu hari nanti.
 
Apabila perkara ini tidak dikawal dengan baik menyebabkan penduduk tempatan yang sukar mendapatkan pekerjaan akan ramai jadi pengangur dan boleh menyebabkan berlaku pergaduhan antara penduduk tempatan dengan buruh asing.
 
Mungkin buruh asing itu sanggup menerima gaji yang rendah berbanding dengan penduduk tempatan maka akan berlaku ketidakpuasan hati diantara penduduk tempatan dengan buruh asing boleh mencetuskan rusuhan antara kaum.
 
Buruh asing yang terlalu ramai datang ke negara ini juga boleh menyebabkan gejala sosial yang tidak terkawal. Apabila mereka ini bebas bergerak dan tidak dikawal  dengan baik maka mereka akan bebas melakukan jenayah sekiranya mereka menghadapi tekanan jiwa akibat tekanan hidup dan sebagainya.
 
Kita mengesa kerajaan Sarawak perlu menggunakan kuasa autonomi imigrasi untuk menghalang perkara ini terjadi kerana masih ramai lagi penduduk tempatan di Sarawak terutama di luar bandar yang ke bandar mencari pekerjaan. Mereka ini juga sanggup bekerja sebagai buruh sekiranya kerajaan memberi insiatif dan juga latihan tenaga buruh yang mahir dalam bidang yang diceburi.
 
Kerajaan Sarawak perlu mengawal buruh asing mengawal sektor pertanian dan juga industri pembinaan di Sarawak kerana ramai lagi penduduk Sarawak yang boleh dilatih sebagai pekerja mahir dalam bidang berkaitan dengan diberi gaji yang berpatutan dengan kemahiran mereka.
 
Kita yakin apabila kerajaan Sarawak dapat memberi kemudahan asas serta latihan yang sewajarnya kepada penduduk tempatan yang memerlukan pekerjaan maka kerajaan Sarawak tidak memerlukan terlalu ramai tenaga buruh asing untuk bekerja di Sarawak apabila penduduk tempatan sendiri dapat memenuhi pemintaan dalam bidang tersebut.
 
Kita menggesa kerajaan pusat mengkaji semula pengambilan buruh asing datang ke Malaysia dengan pengambilan yang terhad agar peluang rakyat Malaysia untuk bekerja tidak terjejas dengan kedatangan mereka yang terlalu ramai.
 
Kesimpulannya pengambilan tenaga buruh asing yang terlalu ramai dari Bangladesh tidak diperlukan bekerja di negara ini sekiranya kerajaan dapat memberi peluang serta latihan kemahiran yang sewajarnya kepada penduduk tempatan yang masih ramai menganggur dengan gaji yang berpatutan agar mereka inilah yang boleh digunakan sebagai menjanakan ekonomi negara. – HARAKAHDAILY 15/2/2016

Share on Myspace