Ada ahli PAN ingin kembali semula – Nik Amar

SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR | .

BACHOK: Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah mengesahkan terdapat bekas anggota parti yang menyertai Parti Amanah Negara sebelum ini berhasrat kembali semula kepada PAS.

Menurutnya, sebelum ini mereka keliru sehingga tidak mampu membuat pertimbangan dengan baik semasa menyertai parti baharu.

Bercakap kepada media selepas merasmikan Persidangan Pendidikan Kelantan 2016 di Sudara Beach Resort, di sini semalam katanya perkembangan itu begitu membanggakan.

Baru-baru ini Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa ada beberapa bekas ahli PAS yang menyertai PAN berharat kembali semula kepada PAS.

“Alhamdulillah semoga dengan penyertaan mereka, kita sama-sama dapat mengukuhkan perjuangan parti, kerajaan negeri di Kelantan,” ujarnya.

Beliau juga berkata pembangkang di negara ini perlu bersatu untuk mencapai matlamat perjuangan.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Abdullah Md Nawi mengalu-alukan turut hasrat bekas ahli PAS mahu menyertai semula parti itu.

Katanya, ia merupakan tindakan yang wajar demi kepentingan umat Islam.

“Harap bila reda dan jernih dengan kekeliruan sebelum ini, kita berharap mereka dapat bersama perjuangan asal.

“PAS negeri menerima baik mana-mana pihak atau individu yang berhasrat ingin semula sertai PAS,” katanya selepas merasmikan perletakan batu asas pembinaan asrama Sekolah Menengah Agama (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Tumpat. – HARAKAHDAILY 15/2/2016

Share on Myspace