Kes Husam: PAS Kelantan tidak campur tangan

SALMAH MAT HUSAIN | .

BACHOK: PAS Kelantan menyerah sepenuhnya kepada Jawatankuasa Tatatertib parti itu bagi menentukan kedudukan Yang Dipertua PAS Kubang Kerian Datuk Husam Musa.

Timbalan Pesuruhjayanya Datuk Mohd Amar Abdullah berkata sebarang keputusan sama ada dikenakan tindakan atau sebaliknya terserah kepada jawatankuasa berkenaan.

“Kita tidak campur tangan dalam kes ini. Dalam perlembagaan parti sendiri Jawatankuasa Tatatertib ada hak untuk menentukan sebarang tindakan terhadap anggotanya bila ada aduan diterima.

“Berdasarkan perkara itu kami tak ganggulah, biar Jawatankuasa Tatatertib yang menentukan,” katanya di sini semalam.

Sabtu lepas Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu Husam akan dirujuk kepada Lembaga Tatatertib selepas jawatankuasa kerja PAS pusat mengkaji beberapa aduan yang diterima.

Menurutnya, pihak parti menerima aduan terhadap bekas Naib Presiden itu daripada PAS Kelantan dan cawangan di Dun Salor. – HARAKAHDAILY 15/2/2016

Share on Myspace