Isu bauksit: Persekitaran di lokasi beransur pulih

BASIRON WAHAB | .

KUANTAN: Selepas sebulan ‘moratorium’ bermula 15 Januari hingga 15 Febuari 2016 lalu, keadaan persekitaran di lokasi terlibat bauksit beransur pulih biarpun belum pulih sepenunya.
 
Pengerusi lajnah Alam Sekitar PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, pihaknya masih lagi menanti penjelasan kerajaan tentang langkah-langkah yang telah dibuat selain daripada membersihkan jalan raya yang terjejas.
 
Katanya, sehingga hari ini penduduk masih tertanya apakah pembaharuan yang bakal dilaksanakan sebelum tempoh pemberhentian sementara ini tamat, selain membersihkan jalan raya, masih banyak kawasan yang terjejas tidak dibaiki lagi.
 
Menurutnya, jalan luar bandar yang rosak teruk belum di baik pulih, pembahagi dan  papan tanda  jalan yang rosak masih belum diganti baharu.
 
“Pihak kerajaan juga masih belum mengumumkan lokasi sebenar yang dipilih untuk  dijadikan kawasan "stockpile" setempat seperti yang dijanjikan.
 
“Pengumuman Menteri Pengangkutan semalam yang menyatakan jenis lori yg dibenarkan selepas ini juga menimbulkan tandatanya, adakah jenis lori Paka ini benar-benar boleh mengatasi masalah pencemaran?
 
“Bagaimana dengan laluan yang dikhaskan untuk pengangkutan bauksit ini dirancang supaya tidak menjejaskan orang ramai,” soal beliau.
 
“Saya mendesak pihak kerajaan supaya melibatkan semua pihak yang berkepentingan di dalam membincang dan menentukan kaedah yang bakal diperkenalkan termasuk NGO dan penduduk setempat.
 
“Kerajaan perlu telus dan berani untuk melanjutkan tempoh moratorium ini sekiranya semua perkara yg berkaitan dengan perlombongan bauksit ini tidak dapat selesai dalam tempoh itu,” katanya.
 
Sementara itu Pengerusi Gerakan Anti pencemaran Bauksit (Geram), Ali Akbar Othman berkata, penduduk sudah melihat kesanya positif hidup tanpa lori bauksit.
 
Katanya walaupun belum menyeluruh, tapi sudah nampak kesan positif. terutama kepada pengguna jalan raya,
 
“Pengguna merasa sudah aman dari kesesakan lori dan debu merah. Cuma beberapa lokasi masih dalam zon tak selesa iaitu kawasan laluan jalan Pembangunan Luar Bandar (PLB) terutama sekitar Taman Dato’ Rashid ke Kampung Kubang Badak, Jeram Beserah dan PLB kampung Padang Darat.
 
“Jalan persekutuan juga masih ada yang belum dibaiki iaitu laluan kuari Pengorak hingga ke laluan masuk pintu utara Pelabuhan Kuantan. Juga yang masih menjadi rungutan penduduk ialah keadaan anak-anak sungai yang telah di penuhi lumpur bauksit menjadikannya cetek dan masih keruh,” uajrnya.
.
Seorang peniaga Insuran di Felda Bukit Goh, Hamiruddin Yusof 58, berkata keadaan sekarang ini jauh lebih baik daripada dua tahun lalu.
 
Katanya, udara kembali segar, jalan raya tidak lagi berdebu dan selesa bagi pengguna.
 
Beliau berharap situasi ini berteusan sampai bila-bila.
 
“Penduduk tidak tahan lagi menanggung debu merah yang menyebabkan kualiti udara lebih buruk daripada jerebu asap dari Indonesia.
 
“Kalau boleh kerajaan perlu batalkan terus atau jangan keluarkan lesen perlpmbongan baharu kepada pengusaha bauksit,” katanya.
 
Beliau berkata semasa krisis bauksit memuncak dahulu, warna kenderaan bertukar menjadi merah sehingga sukar untuk dibersihkan.
 
“Cuci kereta pagi, petang merah semula, cuci lagi merah semula,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/2/2016

Share on Myspace