Ada IPG pun hidup penoreh tetap susah

MUHAMMAD SANUSI MD NOR | .

DALAM bajet 2016 yang dibentangkan pada Oktober 2015, PM mengumumkan IPG akan teraktif apabila harga getah sekerap (50% DRC/kandungan getah kering) turun dibawah paras RM2.20 sekilo. Pada tahun sebelumnya, IPG teraktif pada kadar RM1.70 sekilo.

Saya menjangkakan dengan aktifnya IPG pada 2016, kerajaan akan memperuntukkan dana khas IPG itu supaya penoreh tetap menerima RM2.20 sekilo - RM1.70 semasa jualan sekerap dan RM0.50 sewaktu mengemukakan tuntutan IPG.

Hari ini harga getah di semua daerah di Kedah berada di bawah paras RM1.70 sekilo. Ada kawasan seperti di Sik dan Baling, cuma RM1.50 sekilo. Adakah IPG memperuntukkan RM0.70?

Jawabnya TIDAK!!! Malahan...

Seorang penoreh perlu mengisi borang tuntutan IPG, dikemukakan bersama resit jualan getah, Kad Permit Authoriti Transaksi Getah (PAT-G) dan salinan geran kebun getah. Penoreh atau pemilik mestilah memiliki kebun kurang daripada 100 ekar (40 hektar).

Borang dan dokumen tersebut hendaklah dikemukakan di pejabat LGM terdekat dan IPG yang akan dibayar hanyalah RM0.10 sekilo.

Saya ulang!... SEKUPANG saja sekilo.

Tuntutan hanya boleh dibuat sekali dalam sebulan. Bermaksud, jika dalam tempoh sebulan, penoreh dapat penjual sekerap 4 kali, empat resit itu dikumpul dan dibawa ke LGM.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang mengendalikan IPG dan hal ehwal orang motong sekelian...

Bagi yang motong 5 relong kebun getah milik sendiri (120 pokok serelong), purata hasil sekerapnya ialah 45 kilo sehari (13 pokok sekilo), kalau tidak ditimpa hujan. Purata hari tanpa hujan (hari boleh motong) hanyalah 15-18 hari sebulan - ambil maksimum 18 hari.

Orang kampung yang memiliki kebun getah seluas 5 relong hanya boleh dibilang dengan jari. Yang memiliki 100 ekar kebun getah, tak payahlah buang masa mencarinya...

5 relong- dalam tempoh sebulan hasil sekerapnya ialah 810 kilo. Pada kadar harga RM1.50 sekilo, pendapatan meksimum mereka sebulan ialah RM1,215. Jika kebun itu milik orang lain, pendapatan maksimum mereka ialah RM607.50.

Jika kebun getah milik sendiri hanya seluas 2.5 relong, hasilnya 405 kilo dan pendapatannya RM607.50, jika kebun sekangkang kera itu milik orang, pendapatan mereka hanya RM303.70... MAKSIMUM tanpa hujan berterusan, tanpa kecurian, tanpa keuzuran. Nak makan apa dengan RM303.70 sebulan? Anak-anak sekolah, beras, minyak, gula kopi, ikan masin, bil-bil, minyak motor....

Pejabat LGM paling dekat tersergam di Sungai Petani. Dari Belantek, Kota Aur, Chepir, Sik, Charok Padang, Nami, Sg Pau, Jeneri, Kg Betong, Changhai, Cemara, Berona... ke Sungai Petani kos minyak kenderaan sekitar RM50. Dengan motosikal lebih jimat, tapi terlalu jauh untuk menunggang. Itupun kalau motorsikal itu boleh sampai. Dengan bas atau teksi juga jimat tetapi memakan masa sehari.

Tuntutan IPG dalam sebulan untuk kebun 5 relong milik sendiri ialah RM81.00

Tuntutan IPG untuk kebun 5 relong milik orang lain ialah RM40.50 sebulan!

Tuntutan IPG untuk kebun 2.5 relong milik sendiri ialah RM40.50 sebulan!

Kalau kebun sekangkang kera itu milik orang...dapatlah IPG RM20.25 sebulan!

Dengan kos pergi balik dan masa, mereka sebetulnya tak dapat apa-apa daripada IPG, malahan tidak berbaloi sama sekali. Hanya kerajaan dapat menayangkan papan tanda 'keprihatinan' kepada orang motong yang tak dapat apa-apa. Sebetulnya IPG SEKUPANG tidak memberi sebarang makna.

Saya mencadangkan, Tuan-Tuan tinggalkan pejabat berhawa dingin itu barang seminggu dua dalam sebulan, merantau ke kampung di pedalaman, menemui mak ayah pak cik mak cik yang motong getah... uruskan IPG dan PAT-G mereka.

Stesenkan staff LGM di kedai sekerap atau tempat orang motong  bertemu pembeli sekerap di bangsal atau bawah pokok kabu. Walaupun tempat itu harum dan dingin, orang motong akan terasa nikmat SEKUPANG IPG itu dengan ketinggian budi dan jasa tuan-tuan. Sebulan sekali saja satu kampung.

Saya yakin, dengan kejauhan, kepayahan, 'keciputan' untuk mendapatkan IPG, orang motong terpaksa mengabaikan saja insentif itu. Biar tak dapat IPG daripada dapat secupak tapi rugi segantang.

Hanya pekebun yang lebih senang dan lebih kaya, memiliki kebun lebih luas daripada 5 relong hingga 100 ekar, akan terasa nikmat IPG SEKUPANG itu. IPG ini untuk orang miskin atau orang kaya? Apakah kaya jika hidup di Malaysia hari ini jika miliki tanah kebun 5 relong tapi hanya dapat menjana RM1,200 sebulan? HAH! Nak ke kedai pun susah, bagaimana mau ke LGM di Sungai Petani? – HARAKAHDAILY 16/2/2016

Share on Myspace