Luaskan rangkaian industri kecil hadapi TPPA

SALMIYAH HARUN | .

BANGI: Rakyat negara ini khususnya mereka yang menjalankan perniagaan industri kecil perlu meluaskan rangkaian hubungan bagi mengembangkan pasaran tempatan ke pasaran antarabangsa selepas negara bersetuju menyertai Perjanjian Trans Pasifik (TPPA), demikian menurut Timbalan Presiden Ngo Ilmuwan Mazli Mohd Noor.

Bercakap dalam program Sembang Teh Tarik For Malaysia anjuran Jabatan Profesional Muda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bersama anak muda malam tadi, Mazli berkata, rakyat negara ini harus bersedia sebaiknya selepas TPPA masuk ke negara ini kerana barangan import akan menguasai pasaran tempatan.

"Kita di peringkat domestik kena berdepan masalah ini, dan kena pertingkatkan jaringan hubungan di kalangan jemaah kita. Kita kena bersaing dengan pasaran antarabangsa," katanya.

Beliau juga menasihati para usahawan kecil ini agar meningkatkan kualiti diri dalam apa sahaja elemen termasuklah kemahiran teknikal bermula dari sekarang kerana persaingan bukan di peringkat lokal semata-mata.

"Selepas TPPA, sektor industri kecil akan terjejas kerana 70 peratus barangan pasaran datangnya daripada industri kecil. Pengeluaran syarikat tempatan akan terjejas kesannya peluang pekerjaan anak muda akan berkurangan.

"Industri tempatan akan terjejas kerana import akan lebih banyak masuk ke negara dan sudah tentu rakyat akan dapat benda yang lebih murah. Kereta Volkswagen boleh dapat murah sudah tentu kita tidak beli proton," katanya di hadapan kira-kira 50 anak muda daripada pelbagai latar belakang.

Justeru tegasnya, rakyat sewajarnya memainkan peranan utama dalam menggerakkan ekonomi Malaysia dengan penglibatan ramai pengusaha dan pekerja yang lebih banyak.

"Kita sebagai negara membangun, bagi membina ekonomi lebih mampan seharusnya melalui rakyat kita sendiri. Rakyat bergerak belian rakyat lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Strategik Pemuda PAS, Syahir Sulaiman menegaskan Malaysia boleh menarik diri daripada TPPA namun ia boleh mengundang mudarat kepada negara.

Antaranya kata beliau 11 negara lain yang menyertai TPPA mungkin akan memboikot ekonomi negara ini.

Sebelas negara anggota TPPA  ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat, dan Vietnam.

Jelasnya, di dalam perjanjian TPPA setiap negara boleh memilih untuk keluar daripada perjanjian itu dengan notis enam bulan.

Sembang Teh Tarik kali ke-3 di anjurkan oleh Jabatan Profesional Muda DPPM mendapat sambutan di luar jangkaan apabila kehadiran anak muda yang begitu ramai sehingga memenuhi ruang yang begitu terhad.

Rata-rata anak muda melahirkan rasa bimbang terhadap profesion mereka pada masa hadapan selepas TPPA nanti. – HARAKAHDAILY 16/2/2016

Share on Myspace