PRN: Petugas seluruh negara bantu PAS Sarawak

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi PAS Sarawak turut dibantu jentera pilihan raya PAS dari seluruh negara.

Selain itu PAS Sarawak juga menganjurkan bengkel strategik pilihan raya yang diadakan di Bintulu pada Oktober tahun lepas.

Pengarah Operasi PAS PRN Sarawak Dr Wan Nik Wan Yussof berkata bengkel tersebut diadakan membabitkan 11 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang bakal ditandingi PAS pada PRN nanti.

Katanya melalui bengkel tersebut PAS Sarawak boleh melakukan persiapan awal bagi menghadapi PRN dengan lebih teratur dan tersusun.

“Gerak kerja pilihan raya sudah bermula sejak tahun lepas. Sekarang kita memperkemaskan lagi jentera dengan bantuan petugas-petugas PAS dari seluruh negara.

“PAS negeri-negeri sudah menghantar petugas sejak 1 Februari lepas bagi membantu gerak kerja pilihan raya di kawasan yang bakal ditandingi PAS,” katanya dihubungi di Kuching.

Bagaimanapun petugas pilihan raya PAS Kelantan sudah berkampung di Sarawak sejak 15 Januari lepas di mana mereka bertugas secara bergilir-gilir.

Begitu juga jentera pilihan raya PAS Selangor dan Terengganu sudah menghantar jentera pilihan raya secara berkala sejak awal lagi. – HARAKAHDAILY 16/2/2016

Share on Myspace