1.5 juta Bangla: Umno didik rakyat tempatan malas?

BASIRON WAHAB | .

TEMERLOH: Cadangan kerajaan Umno/BN untuk membawa 1.5 juta orang rakyat Bangladesh ke negara ini tidak disukai dan dibantah oleh PAS.  
 
Bendahari PAS Pahang, Musanif Abdul Rahman berkata, beliau hairan kenapa pemimpin Umno/BN yang memerintah seperti kehilangan punca sehingga sanggup mencadangkan untuk membawa masuk lebih ramai rakyat negara asing bekerja disini.
 
Katanya, dalam keadaan warga asing atau pendatang dengan izin dan tanpa izin (haram) sudah ramai dan menguasai pelbagai bidang pekerjaan, kerajaan berhasrat untuk menambah bilangan warga asing.
 
“Ia sungguh menghairankan,” katanya.
 
Menurutnya, bagi menghalalkan tindakan itu, para pemimpin Umno/BN yang memerintah mula menghina bangsa sendiri kononnya orang Melayu malas, tak nak buat kerja mencuci longkang dan lain-lain sebagai alasan untuk menghalalkan tindakan mereka.  
 
“Untuk menghalalkan tindakan membawa warga asing itu, pemimpin Umno yang memerintah mula meghina bangsa sendiri dengan mengatakan warga negara (orang Melayu) malas untuk membuat kerja mencuci longkang dan sebagainya, terlalu memilih pekerjaan  dan sebagainya,” ujarnya. .
 
Menurut Musanif, hakikat sebenarnya yang mendidik rakyat tempatan malas itu adalah Umno sendiri.
 
Katanya, remaja Melayu khususnya perlu menyedari pemimpin Umno sudah melakukan penghinaan kepada bangsanya sendiri.
 
Justeru, pemuda khususnya pemuda Melayu patut menjauhkan diri dari parti itu pemimpinnya. – HARAKAHDAILY 16/2/2016

Share on Myspace