Kongres Rakyat P Pinang angkat suara rakyat terhimpit

MOHD SABRI SAID | .

PULAU PINANG: Kongres Rakyat Pulau Pinang berhasrat mengangkat semua terutamanya badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama menyuarakan beberapa isu yang menyentuh perasaan rakyat bagi diketengahkan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan.

Penasihat Kongres Rakyat Pulau Pinang, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, program yang diadakan di Yayasan An Nahdoh, Kubang Semang, Bukit Mertajam pada 21 Februari (Ahad) ini bermatlamat menjadi inisiatif memperdengarkan suara rakyat yang semakin terhimpit.

Tambahan lagi, katanya keadaan rakyat khususnya di Pulau Pinang dan amnya di Malaysia semakin menderita ekoran kegagalan kerajaan menangani masalah berbangkit.

"Kos sara hidup yang tinggi membuatkan kehidupan rakyat makin menderita. Suara akar umbi mesti dikuatkan bagi kepentingan rakyat," jelasnya.

Di Pulau Pinang, ujar beliau sekiranya dibiarkan pembangunan berleluasa natijahnya rakyat bawahan menerima petaka seperti tambakan laut dan pembinaan terowong yang menyebabkan para nelayan hilang pendapatan.

"Selain kos sara hidup yang meningkat isu yang bakal dibahaskan ialah sistem percukaian GST yang membebankan, peningkatan pengangguran dan peluang pekerjaan yang terbatas, kos kesihatan dan pendidikan yang terus melambung, kebanjiran pekerja asing yang semakin meningkat, pembangunan perumahan mewah yang menghakiskan rakyat tempatan," katanya.

Tambahnya lagi, suara yang wajar diketengahkan ialah nasib kehidupan komuniti nelayan,  peniaga kecil, petani, buruh akibat pembangunan yang tidak lestari alam serta ekonomi kaum bumiputra di Pulau Pinang tidak terbela.

"Bila ada suara rakyat ianya bertindak sebagai pengimbang. Harapan kita biar suara yang dikemukakan diangkat dan menjadi pembela," terangnya yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras).

Sementara itu, Pengarah Kongres Rakyat Pulau Pinang, Ustaz Yusni Mat Piah menjemput semua pihak yang terlibat supaya memberi ruang masa hadir untuk bersama membentuk gagasan suara bagi menghasilkan sebuah deklarasi dan pelan tindakan rakyat untuk diketengahkan kepada kerajaan negeri dan pusat. - HARAKAHDAILY 16/2/2016

Share on Myspace