1.5 juta Bangla: Agensi boleh untung cecah RM3 bilion

SALMIYAH HARUN | .

BANGI: Kerajaan dilihat bagitu mudah membuat justifikasi bahawa belia negara ini tidak mampu bekerja di sektor 3D iaitu 'dirty, difficult and dangerous' hakikatnya di dalam konteks semasa ia mungkin tidak menjadi masalah kerana tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Pengarah Strategik Pemuda PAS, Syahir Sulaiman berkata, anak muda pada hari ini tidak boleh lagi memilih sama ada berhadapan dengan tidak ada pekerjaan atau buat apa sahaja kerja yang ada.

"Jika perlu buat kerja pembinaan, kena buat kerja pembinaan. Kalau perlu jadi pencuci atau pelayan kenalah buat juga. Menteri pun ada menyebut kena buat dua kerja," katanya kepada Harakahdaily.

Jelas Syahir, anak muda yang mendapat kelulusan yang rendah terpaksa perlu membuat kerja-kerja di sektor 3D ini,  tetapi agak malang bagi mereka jika peluang ini diambil pekerja asing.

Misalnya, belia yang baru tamat pengajian sudah tentu akan bekerja di sektor ini bagi menampung perbelanjaan mereka sebelum mendapat pekerjaan tetap.

"Di dalam segmen kedai-kedai makan sepatutnya tidak boleh diberi kepada pekerja asing biar anak tempatan yang jadi tukang masak. Sekarang ini kedai-kedai makan kebanyakkannya warga Bangladesh atau Indonesia atau Kemboja.

"Sepatutnya peluang-peluang ini diberi kepada anak tempatan dengan cara kita kurangkan kebergantungan kepada buruh asing ini," katanya ketika ditemui dalam Program Sembang Teh Tarik bersama anak muda di Bangi semalam.

Jelas beliau, kajian ada menyebut buruh asing yang terlalu lama sangat bekerja di Malaysia ini tidak lagi menjadi buruh tetapi dinaikkan pangkat kepada supervisor.

"Bermakna mereka sudah masuk ke kumpulan pertengahan, jadi supervisor untuk kilang, supervisor pembinaan, perladangan, keadaan ini menafikan peluang anak muda tempatan bukan sekadar buruh kasar tetapi supervisor.
 
Kesan kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ini katanya akan merencatkan usaha kebergantungan Malaysia kepada pelabur asing.

"Oleh sebab kita terlalu bergantung kepada pelabur asing maka industri kita tidak meningkat, kita masih lagi berada di takuk lama dan tidak boleh naik ke tahap teknologi lebih tinggi

"Peluang pekerjaan kepada belia tempatan akan berkurangan yang mana mereka bergantung kepada tahap pendidikan. Jika ada mereka yang diberi peluang akan memilih kerja-kerja buruh kasar ini bagi menyara kehidupan kerana kos sara hidup yang tinggi," jelasnya.

Di sebalik kemasukan pekerja Bangladesh ini, beliau tidak menolak mereka yang ada hubungan dengan Kementerian Dalam Negeri akan mendapat manfaatnya iaitu agensi kerajaan yang mengawal permit, urusan pendaftaran 'online' dan juga pemeriksaan kesihatan.

"Kalaulah secara kasar 1.5 juta pekerja dengan keuntungan RM2,000 ke RM3,000 seorang, nilai keuntungan kemasukan sudah mencecah RM2 ke RM3 bilion. Dan ini mungkin akan dinikmati oleh agensi-agensi yang membawa masuk mereka ini. Siapakah mereka ini dan apakah hubungan mereka dengan pihak kementerian. Hanya KDN sahaha yang tahu," soal beliau. – HARAKAHDAILY 16/2/2016

Share on Myspace