Bauksit: Ramai hilang tanah dan ditipu

Cecilia Jeyanthi Victor dan Siti Shafiah Ariffin | .

KUALA LUMPUR: Ladang kelapa sawit di Felda Bukit Goh, Bukit Kuantan, Bukit Sago dan Bukit Nerang di Pahang berhadapan dengan masa depan suram berikutan perlombongan bauksit di kawasan itu.

Ini kerana tindakan beberapa peneroka yang menjadikan ladang sawit mereka sebagai kawasan perlombongan bijih itu telah menjejaskan tanah di kawasan tersebut.

Seorang pencinta alam sekitar berkata perlombongan bauksit di kawasan itu menghasilkan kromium yang beracun dan boleh merosakkan tanaman kelapa sawit di kawasan Felda terbabit.

"Justeru, sama ada kelapa sawit boleh tumbuh kembali dengan normal masih tidak dapat dipastikan kerana tanah itu sudah dicemari dengan racun," kata Profesor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Maketab Mohamed.

Beliau berkata dengan moratorium perlombongan bauksit selama tiga bulan di Pahang, "para peneroka sudah merasakan kerosakan yang dilakukan terhadap tanah kelapa sawit itu dan proses pemulihan sudah tentu sesuatu yang sukar."

Menurut Perpustakaan Kebangsaan mengenai Perubatan Amerika Syarikat, kesan toksik kromium terhadap pertumbuhan tanaman dan perkembangan termasuk perubahan dalam proses percambahan serta pertumbuhan akar, batang dan daun boleh memberi kesan kepada jumlah pengeluaran bahan kering dan hasil tumbuhan.

Ketika ditanya Bernama di luar acara forum 'Perlombongan Lestari Kajian Kes Perlombongan Bauksit di Pahang' di sini hari ini, mengenai hasil jangka panjang kemampanan kelapa sawit di negeri itu, Maketab melahirkan kebimbangannya terhadap peneroka Felda yang telah menawarkan tanah mereka bagi memperoleh keuntungan segera.

"Mereka yang menjual tanah mereka mendapat ganjaran berjuta ringgit daripada ahli perniagaan bauksit, tetapi wang itu tidak bertahan untuk generasi akan datang.

"Ramai yang kehilangan tanah mereka dan ditipu oleh ahli perniagaan bauksit, wang yang dijanjikan oleh pelombong bauksit haram kepada peneroka lesap dan ladang mereka mengalami kerugian besar," kata Maketab yang juga bekas Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Oleh itu, beliau menyeru kepada kerajaan agar melihat semula kaedah terbaik bagi membantu peneroka menggunakan tanah mereka. - Bernama

Share on Myspace