Kemalangan maut: Segera besarkan jalan di Jengka

BASIRON WAHAB | .

 

TEMERLOH: Kerajaan didesak untuk segerakan menaiktaraf dan melebarkan Jalan Temerloh - Kampung Awah – Bandar Tun Razak, Jengka ekoran  terlalu kerap berlaku kemalangan maut dijalan berkenaan.
 
Desakan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan selepas beliau menziarahi keluarga mangsa kemalangan maut pada semalam, Selasa 16 Febuari.
 
Ahad lalu 14 Febuari lalu, satu kemalangan maut membabitkan dua buah kereta dan sebuah lori di Km 23.5 Jalan Temerloh - Jengka berhampiran Felda Siantan, Jengka 19 yang mengorbankan dua mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, Mohd Rozi Mat Bani, 48, yang merupakan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat dan anak bongsunya Adam Zikry, 11, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala seorang lagi anak mangsa Muhammad Afiq Zakwan, 18, yang memandu kereta Perodua Kelisa itu, cedera parah dan kini dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH) di Temerloh.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Muhammad Afiq Zakwan cuba untuk memotong beberapa kenderaan di hadapan namun gagal, lalu bertembung dengan sebuah kereta Waja yang datang dari arah bertentangan.

Akibat perlanggaran itu, kereta Waja berkenaan terbabas ke kiri jalan manakala kereta Kelisa tersebut berpusing sebelum dilanggar oleh sebuah  lori yang berada di belakang kereta Waja.

Menurut Nasruddin, Isu pembesaran jalan tersebut telah lama dibangkitkan penduduk dan dijadikan isu dan janji dalam beberapa kali pilihan raya sebelum ini. Soalnya, bilakah projek menaiktaraf jalan berkenaan akan dilakukan?
 
Katanya, tidak cukup lagikah kemalangan demi kemalangan maut berlaku di jalan yang sama kerana faktor jalan yang sempit dan berbahaya.
 
Difahamkan,  kelmarin (16 febuari) dilaporkan satu lagi kemalangan berlaku di lokasi yang sama meskipun tidak melibatkan kemalangan jiwa.
 
“Penduduk secara berseloroh menyebut jalan Kampung Awah - Bandar Tun Razak ini sebagai jalan maut lantaran banyaknya kemalangan berlaku di jalan raya berkenaan setiap bulan.
 
“Apakah kerajaan masih bermain kata-kata dengan situasi yang melibatkan nyawa pengguna ini,” soal beliau.
 
Sementara itu, Nasruddin meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa di rumah mereka dekat Sungai Gau, Temerloh. – HARAKAHDAILY 17/2/2016

Share on Myspace