Tok Guru Nik Abdul Aziz dalam tinta kenangan

HARAKAHDAILY | .

SEMALAM 16 Februari 2016, telah diadakan satu forum bicara tokoh bertajuk ‘Tok Guru Nik Aziz Dalam Tinta Kenangan’ anjuran Unit Peti Undi Kerandang, Dun Jabi. Saya catatkan di sini beberapa catatan menarik yang telah saya kongsikan dalam forum semalam serta juga apa yang diimbas kembali oleh seorang lagi ahli panel, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, saya hadir di satu kenduri kahwin di Kubang Kerian. Kebetulan saya duduk makan satu meja dengan seorang Penghulu JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan). Kami makan sambil berbual mesra beberapa topik ringan politik semasa.

Kebetulan sebelum PRU13, Umno Kelantan giat menampilkan ‘orang agama’ di atas pentas ceramah mereka untuk menarik sokongan rakyat kepada Umno. Tok Ngulu yang sedang makan sekali dengan saya cerita, “Semalam ada satu ceramah Umno yang disampaikan oleh Ustaz Sipolan bin Sipolan. Baso bodo Ustaz ni! Ceramah duk kutuk maki hamun Tok Guru Nik Aziz! Dia orang luar dok tahu perangai orang Kelantan. Di Kelantan ni siapa kutuk Tok Guru Nik Aziz, serupalah dia nak bbaloh dengan orang Kelantan! Orang akan jadi semakin jauh dari Umno. Kita buat ceramah nak tarik orang, dia duk perambat orang lari koho jauh!” Marah nada Tok Ngulu ni.

Senario ringkas yang mengambarkan bagaimana kedudukan Tok Guru di hati rakyat Kelantan tanpa mengira sempadan politik. Bagaikan tak keterlaluan ungkapan ini, ‘Kelantan adalah Tok Guru Nik Aziz, Tok Guru Nik Aziz adalah Kelantan.’

Ramai kawan-kawan Cina di Kelantan mempamerkan dalam kedai mereka keratan akhbar yang memaparkan kata-kata Tok Guru “HUTANG WAJIB DIBAYAR SEKALIPUN TIDAK DITUNTUT.” Bila ada pelanggan yang nak berhutang, mereka akan tunjuk kata-kata Tok Guru. “Abe… Tok Guru kata hutang wajib kena bayar.” Ha ha… satu kaedah peringatan yang baik untuk pelanggan yang liat untuk bayar hutang.

Anak Saudara Tok Guru, Ustaz Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang merupakan Setiausaha Majlis Syura Ulamak bercerita semalam, bagaimana suatu hari Tan Sri Anuar Musa terserempak dengan Tok Guru di Lapangan Terbang Kota Bharu.

Kawan tu macam terkejut dan tergaman apabila tiba-tiba nampak Tok Guru ada di depan dia. Terus dia pegang dan cium tangan Tok Guru berkali-kali. Hehe… kalau di belakang apa yang Anuar Musa tak kata kepada Tok Guru. Apabila berdepan nyata dia kaku dan kelu dengan aura serta kehebatan Tok Guru.

Aura hebat ini adalah anugerah Allah kepada hamba-hamba yang dekat dengan-Nya. Sudah dimaklumi bagaimana istiqamahnya Arwah Tok Guru menjaga hubungannya dengan Allah. Seorang pemandu Tok Guru pernah cerita kepada saya, menjadi kebiasaan Tok Guru apabila naik kereta untuk menuju ke sesuatu destinasi, soalan pertama yang akan ditanya oleh Tok Guru, “kita nak berenti semayang kat mana?” Orang lain selalu pelan apabila bermusafir, kat mana nak berenti minum dan berehat. Tapi bagi Tok Guru, sembahyang adalah perkiraan utama.

Ketika mengimbas kembali kenangan kira-kira sebulan sebelum pemergian Tok Guru, sewaktu Ustaz Dr Nik Zawawi melawat ‘Ayoh Zik’ di Hospital USM, Tok Guru yang dalam keadaan sangat uzur dan lemah sempat berpesan kepadanya supaya menjaga jemaah Islam ini dengan baik.

Ketika itu Tok Guru berada dalam keadaan sedar dan tak sedar. Maknanya perjuangan ini dipertahankan oleh Tok Guru sehingga ke akhir hayatnya tanpa pernah berpaling sedikit pun. Ingat pesan Tok Guru… “Tolong sambung perjuangan ambo…”

Tentunya pemergian Tok Guru lebih setahun yang lalu meninggalkan satu ruang kosong yang tak akan dapat diisi lagi. Tok Guru bukan satu dalam sejuta, tapi Tok Guru adalah seorang dalam satu lipatan sejarah.

Perginya Tok Guru meninggalkan kepada kita satu legasi perjuangan yang masih panjang. Kita adalah anak-anaknya yang terus memikul tanggungjawab berat ini. Semoga kita terus istiqamah sebagaimana istiqamahnya Tok Guru. – HARAKAHDAILY 17/2/2016

Tulisan di atas dipetik daripada facebook Dr Azman Ibrahim

Share on Myspace