Tahun Baru Cina: 21 Februari PAS bakal catat sejarah

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Sambutan Tahun Baru Cina PAS Pusat sangat penting dan bermakna bagi PAS kerana ia diadakan dalam suasana PAS dilihat bersendirian dan kononnya tidak mendapat sokongan daripada masyarakat Cina.

Walaupun PAS telah berjaya menidakkan tohmahan tersebut dengan terbukti kehadiran yang ramai dalam majlis Sambutan Kuih bulan di Perak, Johor dan beberapa negeri yang lain namun sambutan  ini perlu menjadi platform untuk PAS mendekatkan diri kepada masyarakat Cina.

Menurut Pengerusi sambutan Khairul Faizi Ahmad Kamil negeri Johor dipilih sebagai tuan rumah sebagai langkah untuk melihat sejauh mana sokongan masyarakat Cina dalam meneruskan agenda PAS melalui konsep Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dalam mendekati masyarakat Cina di Malaysia secara keseluruhannya.

Ini kerana katanya, pelbagai andaian bahawa PAS sudah tidak mendapat tempat di hati pengundi Cina, dan ia bakal menjadi kayu ukur kepada sokongan masyarakat Cina di seluruh negara.

Sambutan kali ini akan berlangsung pada 21 Februari ini di Pekan Parit Bakar, Muar di Pusat Khidmat DUN Maharani akan menjadi Tuan Rumah memandangkan Dr Mohamad Taslim merupakan Wakil Rakyat di situ bagi penggal kedua.

Ia dianjurkan oleh Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat dengan kerjasama Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, PAS kawasan Muar, Pusat Khidmat Dun Maharani dan pelbagai agensi dalam PAS di Johor.

Termasuklah Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Himpunan Penyokong PAS, Jabatan Amal dan seluruh PAS kawasan-kawasan di Johor

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan IbrahimTuan Man dijangka hadir begitu juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Datuk Dr Mahfodz Mohamed dan Ketua Dewan Himpunan PAS Pusat (DHPP) N Bala Subramaniam.

Selain daripada persembahan tarian Singa, acara persembahan nyanyian lagu dalam bahasa Mandarin juga akan disampaikan oleh beberapa orang penyanyi jemputan yang terdiri daripada  kaum Melayu.

Program akan bermula pukul 5.00 petang dan ia akan diadakan secara 'santai' dengan dikendalikan oleh seorang pengacara majlis yang petah berbahasa mandarin walaupun beliau adalah seorang gadis Melayu.

Para pengunjung akan disambut  dengan Tarian Singa, sebagai acara tradisi dalam masyarakat Cina maka acara menggaul Yee Sang akan dilaksanakan dengan sedikit kelainan yang akan dibuat nanti.

Acara akan diselang seli dengan ucapan dan persembahan dan tidak lupa pemberian ang pau kepada anak-anak yang hadir oleh pimpinan PAS. Manakala majlis penyampaian ang pau dan hadiah kepada warga tua dan murid sekolah akan diadakan.

Warna tema bagi majlis sambutan ini adalah warna merah. – HARAKAHDAILY 17/2/2016

Share on Myspace