Sejarah: TG Nik Aziz tolak kerjasama PAS dengan DAP

HARAKAHDAILY | .

TUAN GURU NIK AZIZ PERTEGAS SIKAP TOLAK KERJASAMA PAS DENGAN DAP (18 FEBRUARI 1981)

PADA hari ini dalam tahun 1981, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mempertegaskan sikapnya yang tidak bersetuju dengan cadangan Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda supaya PAS bekerjasama dengan DAP dalam Pilihan Raya Umum 1982.

Dalam satu kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS pada 14 Februari 1981, bahawa beliau menentang cadangan kerjasama PAS-DAP ini kerana ia boleh menggugat aqidah ahli-ahli PAS ekoran dasar sekular yang anti negara Islam yang menjadi dasar DAP.

Bagi menjelaskan ketegasan beliau dalam soal ini, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS jika cadangan tersebut diteruskan oleh Dato' Mohd Asri.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bimbang sekiranya ada pimpinan dan ahli PAS yang membelakangkan dasar Islam PAS kerana terpengaruh dengan perjuangan DAP. Beliau menyatakan tindakannya menentang cadangan tersebut, termasuk mahu meletakkan jawatan itu adalah semata-mata untuk memastikan "pengikut-pengikut PAS tidak terpesong dari aqidah Islam," kerana perbuatan tunduk kepada parti yang menentang Islam akan memberi kesan terhadap kemurnian aqidah.

Isu ini berbangkit ekoran kenyataan Dato' Mohd Asri pada 29 Januari 1981 berkait dengan strategi PAS untuk bekerjasama dengan DAP, tetapi pandangan Yang Dipertua Agung PAS itu telah ditentang hebat oleh ahli-ahli PAS di Terengganu dan Kelantan.

PAS Kelantan yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sebagai pesuruhjaya adalah antara yang paling lantang menentang kerjasama ini.

Hal ini berlaku kerana semenjak 1979 isu politik aqidah ini telah berbangkit, terutama setelah PAS Kelantan dan Terengganu melalui buku "Islam dan Politik: Hasil Kajian Ilmiah Ulamak PAS" telah menggariskan tiga sebab yang merosakan aqidah dalam politik, termasuk memisahkan agama dengan kehidupan atau sekular.

Turut menyokong pendirian Ketua Dewan Ulamak PAS tentang bahaya kerjasama politik PAS-DAP ini ialah Dewan Pemuda PAS Pusat yang dipimpin oleh Cikgu Mustafa Ali.

Pada 5 Februari 1981, media massa melaporkan terdapat 53 buah ranting (cawangan) PAS mungkin dibubarkan kerana membantah hasrat Dato' Mohd Asri tersebut.

Turut bersuara ialah Pesuruhjaya PAS Pahang, Mohd Rushdie Ariff yang menyokong pendirian Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dan mendesak Dato' Mohd Asri meletakkan jawatan jika ingin meneruskan kerjasama dengan DAP.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada 18 Februari 1981 berkata, beliau menyerahkan kepada ahli-ahli PAS untuk menentukan kedudukannya setelah beliau mempertegaskan sikapnya ini.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
18 Februari 2016 - HARAKAHDAILY 18/2/2016

Share on Myspace