1.5 juta bangla: Selesai dahulu lambakan pendatang sedia ada

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan rasa kebimbangan terhadap langkah Kerajaan ingin membawa masuk seramai 1.5 juta warga Bangladesh sebagai tenaga buruh ke dalam negara sebagai tambahan kepada tenaga kerja asing sedia ada.

Lebih menggusarkan lagi kemasukan warga kerja Bangladesh kali ini tidak terhad untuk sektor pembinaan dan perladangan sahaja malah diluluskan juga kepada sektor perkhidmatan dan juga pembuatan atau perkilangan.

Malah kali ini, kemasukan juga turut membabitkan tenaga kerja wanita dari Bangladesh.

DPPM ingin mengingatkan kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri akan statistik atau jumlah pekerja asing di dalam negara yang boleh dikatakan keadaannya kritikal dan agak membimbangkan.

Menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem pada November 2014, jumlah pekerja asing di dalam negara sama ada yang sah atau pun tidak berjumlah seramai 6.7 juta orang dengan hanya sejumlah 2.1 juta orang sahaja yang mempunyai permit sah dan berdaftar dengan Jabatan Imigresen.

Dengan jumlah seramai itu ditambah pula dengan kemasukkan warga kerja Bangladesh seramai 1.5 juta orang, ianya melebihi daripada jumlah populasi etnik kaum cina dari kalangan warganegara berdasarkan sumber daripada Jabatan Perangkaan iaitu sebanyak 6.64 juta orang serta boleh menyebabkan ketidak seimbangan pola populasi penduduk didalam negara.

Keadaan tersebut sudah tentu mewujudkan rasa tidak selesa di kalangan rakyat yang sememangnya merasakan sudah terlalu ramai warga asing didalam negara serta merasa terancam dengan kehadiran mereka.

DPPM merasakan Kerajaan perlu mengkaji semula polisi pengambilan warga kerja asing.

Lambakan warga kerja asing terutamanya pendatang tanpa izin seperti tidak dapat dibendung dengan berkesan.

Walaupun operasi kerap dijalankan dan Jabatan Imigresen menjalankan pemutihan sejak beberapa tahun lalu, kebanjiran mereka seolah-olah tidak dapat dibendung dan tidak mendapat kerjasama daripada warga asing itu sendiri.

Daripada menjadi pekerja kini ada yang menjalankan perniagaan dengan memonopoli sesebuah kawasan seperti Jalan Silang, Chow Kit dan Kawasan Pasar Borong Selayang sebagai contoh.

Walaupun Kerajaan menyatakan kemasukkan baru pekerja Bangladesh untuk menampung kekurangan di sektor 3D iaitu bahaya, kotor dan sukar, namun dengan jumlah pekerja asing yang terdapat didalam negara termasuk pendatang asing tanpa izi (PATI) sejumlah 6.7 juta orang, adalah terlalu sukar untuk diterima memandangkan jumlah tersebut sudah melebihi keperluan semasa pekerja asing di dalam negara.

Pada saat negara menghadapi pelbagai kesan ekonomi akibat kelembapan ekonomi dunia, kerajaan seharusnya memikirkan cara terbaik untuk manfaat rakyat dan negara seperti:

(a) Mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing dalam pelbagai sektor didalam negara dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan serta dalam masa sama mengurangkan kadar inflasi didalam negara.

(b) Mengklasifikasikan semula sektor-sektor yang dibenarkan menggaji pekerja asing tanpa menjejaskan peluang anak tempatan dalam mendapat pekerjaan dan mengkaji semula keperluan pekerja asing didalam pelbagai sektor dalam negara yang mana jumlah pekerja asing yang berada didalam negara sudah lebih dari mencukupi.

(c) Menggalakkan majikan mengambil pekerja tempatan untuk menggantikan pekerja asing seperti sektor pembuatan dan perkhidmatan, menetapkan jumlah atau kouta sejumlah pekerja asing didalam setiap industri serta sektor pekerjaan dan juga majikan bagi menjamin peluang dan tempat anak tempatan didalam sektor pekerjaan, mengkaji kelemahan penguatkuasaan agensi berkaitan dalam membendung kemasukan pekerja asing terutamanya pendatang tanpa izin.

DPPM merasakan sudah sampai masanya kerajaan serius dalam menangani isu warga kerja asing dan pendatang tanpa izin di dalam negara.

Sepatutnya dengan jumlah warga kerja asing yang begitu besar yang berada di dalam negara, kerajaan seharusnya bertindak bijak dalam menentukan tindakan seterusnya, bukan menambah lagi jumlah mereka di dalam negara.

Dengan menambah jumlah yang ada, kerajaan seolah-olah tidak peka dengan permasalahan didalam negara sekarang seperti pemberhentian kerja, penutupan operasi syarikat dan kesukaran mendapat pekerjaan di kalangan anak tempatan yang sudah cukup memeritkan apatah lagi terpaksa bersaing dengan warga asing untuk mencari sesuap nasi di negara sendiri. - HARAKAHDAILY 18/2/2016

Penulis ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace