Caliph Buskers meriahkan Gala Aspirasi Seni Sabtu ini

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Hiburan Islam kini menjadi medium utama untuk berdakwah bahkan ia semakin hari semakin mendapat tempat di semua lapisan masyarakat.

Bahkan semakin ramai artis tempatan yang berhijrah menjadi penggerak utama dalam menjayakan hiburan berbentuk islamik ini.

Misalnya, Program Gala Aspirasi Seni yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan beberapa agensi yang lain menampilkan gandingan artis tempatan, personaliti dan pendakwah terkenal di pentas yang sama.

Bukan itu sahaja, orang ramai juga berpeluang bersama Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selaku penceramah jemputan dalam segmen Santai Maghrib.

Tuan Ibrahim akan turut melancarkan bukunya 'Senyumlah 1,2,3,4'  pada malam itu.

Gala Aspirasi Seni yang akan berlangsung pada 20 Februari ini akan menampilkan artis seperti Yana Samsudin, Hafiz Hamidun, Fynn Jamal, Caliph Buskers, Afdlin Shauki, Soutul Amal, Ijam Medicine, Ustazah Norhafizah Musa, IM Muda Fakhrul, Ustaz Halim Hafidz dan ramai lagi.

Program yang akan diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor akan menyajikan pelbagai acara yang menarik buat para pengunjung antaranya, pertandingan busking, cabutan bertuah, photo booth , gerai jualan, Soopa doopa dan banyak lagi.

Selain itu, para pengunjung turut berpeluang untuk mengikuti slot ilmiah seperti Sembang Kopitiam yang bertajuk 'Penggiat Seni Agen Perubahan Ummah dan forum 'Islam mewarnai dunia hiburan' pada hari itu.

Para pegunjung juga berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan pelakon, penyanyi dan personaliti dakwah kesayangan anda. Program yang akan bermula jam 12 tengah hari sehingga 12 malam akan diselangi dengan persembahan dari artis terkenal tanahair.

Orang ramai juga dipersilakan untuk mengundi anugerah khas kepada selebriti terpilih. Anda adalah juri anugerah ini. – HARAKAHDAILY 18/2/2016

Share on Myspace