Kerajaan jangan terburu-buru ambil pendatang asing

MOHD AMINUDDIN ALING | .

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah mengingatkan kerajaan supaya jangan terburu-buru mengambil pekerja asing untuk mengisi sektor pekerjaan dalam negara.

Kelihatan apa yang berlaku sekarang seolah-olah kerajaan lebih mementingkan pekerja luar berbanding dengan pekerja tempatan. PAS  Sabah menyarankan supaya kerajaan hanya boleh mengambil pekerja luar sekiranya telah melaksanakan beberapa perkara berikut:

1. Perlu ada satu penyelidikan akademik yang komprehensif bagi membuktikan keperluan terrhadap pekerja asing dari luar negara. Hal ini kerana, kerajaan tidak boleh hanya mendengar kehendak satu pihak khususnya firma atau sektor ekonomi kerana ditakuti mereka ini lebih mementingkan keuntungan semata mata.

2. Kementerian sumber manusia atau mana-mana pihak yang memerlukan pekerja sepatutnya memberi keutamaan kepada pekerja-pekerja tempatan.

Walaupun mungkin gaji dan perbelanjaan mereka lebih tinggi berbanding pekerja asing tetapi ia amat baik terhadap ekonomi negara untuk jangka panjang.

Ini kerana, kuasa beli dan perbelanjaan pekerja tempatan akan berkisar sekitar dalam negara. Ianya pasti akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara.

3. Berdasarkan maklumat semasa, terdapat  pekerja asing yang menimbulkan masalah sosial seperti rogol, pecah rumah, kacau ganggu keluarga dan sebagainya.

Kerajaan perlu menyediakan satu mekanisme yang ketat bagi memastikan pekerja asing yang sedia ada tidak menyebabkan masalah tersebut.

PAS Sabah merasa amat bimbang atas perkara ini. Pekerja asing yang ada sekarang ini pun sering menimbulkan masalah, apatah lagi sekiranya ditambah dengan kemasukan baru.

4. Dalam konteks Sabah, sudah terdapat ramai pendatang asing termasuk pendatang tanpa izin. PAS Sabah melihat, pendatang yang ada sekarang pun telah menimbulkan keresahan kepada penduduk tempatan khususnya berkaitan keselamatan.

PAS Sabah berharap agar kerajaan memikirkan semula rancangan untuk membawa pekerja asing khususnya ke negeri Sabah. Hal ini kerana keputusan yang dibuat hari ini akan memberi kesan jangka panjang khusunya dari segi politik dan sosioekonomi. – HARAKAHDAILY 18/2/2016

Share on Myspace