PAS Kelantan gerak jentera hadapi PRU14

ASLANI M | .

KOTA BHARU: PAS Kelantan mulai menggerakkan jentera pilihan raya biarpun ada pihak mendakwa kemunculan serpihan PAS menyebabkan parti itu berdepan kesukaran mempertahankan negeri tersebut.

Oleh itu pelancaran gerak kerja pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan diadakan di Putik Sabtu ini dengan mengumpul semua petugas dari seluruh Kelantan.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata gerak kerja pilihan raya tersebut akan dilancar Pesuruhjaya PAS Kelantan Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Katanya dianggar lebih 4,000 petugas jentera pilihan raya PAS peringkat negeri, kawasan, Dewan Undangan Negeri (Dun), kakitangan serta pegawai lantikan politik hadir pada program berkenaan.

“Termasuk juga semua wakil rakyat, penyelia, Dewan Himpunan Penyokong PAS dan ahli Majlis Tindakan Dun. Program separuh hari itu bermula jam 8 pagi,” katanya di sini.

Pada program itu juga akan diadakan penyerahan panji-panji PAS kepada setiap PAS kawasan. Selain itu turut diadakan lafaz ikrar dan baiah fastaqim.

Baru-baru ini bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam ketika berceramah di Teluk Kitam Pengkalan Chepa dilapor berkata pada 2018 pihaknya yakin parti serpihan PAS akan perintah Kelantan.

Oleh itu Che Abdullah berharap semua jentera pilihan raya di peringkat dewan-dewan dan jawatankuasa PAS kawasan serta MTD menghadiri program berkenaan.

“Gerak kerja itu bertema Beristiqamah Hingga Kemenangan memperlihatkan kesungguhan PAS bagi mempertahankan Kelantan pada PRU14 nanti,” katanya. - HARAKAHDAILY 18/2/2016

Share on Myspace