Adakah khidmat Zeti di Bank Negara tidak disambung?

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Pengarah di Bank Negara Malaysia (BNM) Dr Rosli Yaakob tidak menolak kemungkinan bahawa Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar menerima tekanan daripada pihak tertentu dan beliau menjangka tidak disambung kontraknya.

Hal ini kerana menurut Rosli, skandal 1MDB yang terus dipersoalkan oleh pelbagai pihak kerana terdapat pengaliran wang dalam negara ke luar negara dan sebaliknya.

Keadaan ini katanya, ia boleh dikesan melalui sistem perbankan yang mana semua di bawah kuasa BNM yang kaya dengan maklumat mengenai skandal ini.

"BNM tahu apa yang berlaku dalam skandal ini, bahkan tahu undang-undang yang telah dilanggari oleh pelbagai pihak.

"Pengekalan Zeti sebagai gabenor ini boleh membahayakan pihak yang ada kaitan dengan 1MDB. Ada ura-ura minta berhenti terus, oleh kerana terma beliau ada beberapa lagi maka tunggulah hingga terma dia berakhir. Ini satu petunjuk bahawa terma yang habis tidak ada lagi tawaran untuk dia sambung jawatannya," kata beliau kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, beliau percaya Zeti telah membuat keputusan muktamad untuk tidak menyambung jawatannya yang akan tamat pada 30 April 2016, sama ada tawaran daripada kerajaan mahukan beliau disambung semula.

"Saya rasa beliau tetap dengan keputusan tidak teruskan jawatan itu. Malah beliau ada sebut akan menulis buku ketika persaraannya nanti. Satu lagi bukti beliau tidak ada keinginan kekal di BNM," ujarnya.

Rosli yang pernah bekerja dengan beliau mengucapkan tahniah kerana telah berkhidmat dengan cemerlang selama 34 tahun di BNM dan 16 tahun sebagai gabenor.

"(Zeti) Seorang gabenor yang paling lama pegang jawatan itu, beliau adalah antara kakitangan yang bekerja begitu lama," tambah beliau.

Zeti menjangka jawatannya sebagai Gabenor BNM yang akan berakhir pada penghujung April ini tidak akan disambung.

Zeti turut menegaskan 'ia tidak akan berlaku' sekiranya beliau akan kekal sebagai Gabenor BNM atau diminta untuk meneruskan perkhidmatannya. – HARAKAHDAILY 18/2/2016

Share on Myspace